malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AMANAH mohon sokongan Agong bagi saman tindakan perwakilan
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) akan memohon sokongan daripada Yang di-Pertuan Agong bagi saman tindakan perwakilan atau ‘class action’ di Amerika Syarikat yang dimulakan oleh peguam, Mattias Chang dan ADUN Salor, Datuk Husam Musa.

Ketua Biro Antarabangsa AMAANH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah berkata parti itu juga bercadang mengambil tindakan undang-undang yang serupa di luar negara berhubung skandal 1MDB, termasuk di Amerika Syarikat, Switzerland, Hong Kong dan Singapura.

"Ini adalah kemungkinan yang sedang kami teliti, dengan bantuan peguam tertentu.

"Justeri, kami berharap mendapat perkenan Yang di-Pertan Agong untuk menyokong inisiatif Husam dan Chang untuk mengembalikkan kembali aset yang dicuri ke Malaysia," kata Raja Kamarul Bahrin pada sidang media hari ini.

Surat kepada Agong akan ditandatangani oleh enam ahli parlimen AMANAH dan parti itu juga akan mendapatkan sokongan daripada wakil rakyat lain dalam usaha berkenaan, termasuk dari BN.

Ketua Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata sokongan Agong akan mengukuhkan tuntutan Husam dan Chang, sekiranya kesahihan atau locus standi tuntutan mahkamah mereka dipersoalkan.

Pada 13 Ogos lalu, kedua-dua mereka memfailkan saman itu yang bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana 1MDB dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.

Tindakan tersebut dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Selatan New York.

Chang dan Husam menamakan firma Red Granite, pengasas syarikat pengeluar dan pengedar filem Christopher Joey McFarland dan Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai defendan.

Menurut pemfailan mahkamah, kedua-dua mereka mendakwa defendan sengaja menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB untuk kepentingan peribadi mereka termasuk mengadakan pesta untuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah jutawan yang berasal dari Malaysia, Jho Low dan peguam percukaiannya, Debra Whelan Johnson serta firma miliknya, Metropolis IX Capital Advisors LLC.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen