malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BN Melaka akan usul tambah tiga kerusi DUN, kata KM
ADS

Barisan Nasional (BN) Melaka akan membawa usul bagi menambah kira-kira tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu dalam persidangan DUN akan datang, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata penambahan kerusi itu dilihat wajar memandangkan beberapa kawasan Parlimen di negeri itu, kini mempunyai jumlah pengundi yang terlalu ramai.

"Misalnya bilangan pengundi kawasan Parlimen Tangga Batu kini mencecah 80,000 orang, Bukit Katil pula seramai 104,000 orang dan Kota Melaka, 98,000 orang.

Oleh itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melihat keadaan ini supaya ia dapat ditangani demi kebajikan rakyat supaya tidak terpinggir dengan jumlah pengundi terlalu ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Seremban hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Anggota Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang mahu penjelasan mengenai persempadanan semula di kerusi Parlimennya, baru-baru ini.

Idris yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata persempadanan semula dan pertambahan kerusi itu adalah bertujuan untuk memastikan tiada rakyat yang merasa kecewa selain membolehkan perkhidmatan wakil rakyat dapat diberikan dengan lebih cekap dan berkesan.

"Ini adalah suasana yang cukup menekan dari segi geopolitik...jadi saya kata SPR kena ambil tindakan buat kajian serta lakukan perubahan dan saya akan bawa ke DUN kerana terdapat keperluan, kehendak dan desakan untuk saya melebar luas perkhidmatan wakil rakyat.

Kalau masih lagi tidak berubah dengan persempadanan sedia ada, saya bimbang rakyat akan kecewa kerana tidak boleh menghargai sistem demokrasi berparlimen kerana ia tidak mencapai apa yang mereka mahukan,"katanya.

-Bernama

Lihat Komen