malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shamsul mahu SPR jawab cadangan Idris tambah kerusi DUN
Diterbitkan:  Aug 14, 2016 12:37 PM
Dikemaskini: 5:55 AM
ADS

Anggota Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan mengenai persempadan semula di kawasannya yang boleh menyebabkan kekalahan beliau pada pilihan raya umum akan datang.

Ini berikutan cadangan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron bagi menambah dua kerusi DUN di kawasan parlimen yang dimenangi anggota parlimen PKR itu.

"Sewaktu ratusan ribu rakyat Malaysia turun ke jalanan dalam siri perhimpunan BERSIH, Umno mendakwa mereka tidak pernah memperalatkan jentera demokrasi termasuk SPR.

"Namun kini, setelah tembelang terbongkar satu persatu, tanpa malu Idris menunjukkan belang sebenar beliau dan pimpinan Umno.

"Saya ingin mencabar Pengerusi SPR untuk menyatakan pendirian mengenai pengumuman ini," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Idris ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan Umno Tangga Batu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan dua kerusi DUN tambahan untuk kerusi parlimen Bukit Katil.

Ini katanya, akan membantu kemenangan BN dengan meningkatkan populasi pengundi Melayu daripada 53 peratus kepada 67.5 peratus.

Beliau juga mencadangkan perubahan yang sama untuk kerusi parlimen Kota Melaka.

"Adakah pengumuman ini dibuat setelah beliau mendapat "kebenaran" daripada SPR ? Sekiranya ini benar, ia merupakan pencabulan demokrasi yang rakus demi memuaskan serakah politik Umno-BN yang gagal menerima hakikat pengundi di Bukit Katil telah menolak mereka," katanya.

Shamsul juga memberi amaran Idris tidak menggunakan SPR sebagai talian hayat Umno di Melaka.

"Jangan jadi ketua yang bacul. Masuk ke gelanggang secara adil," katanya.

Lihat Komen