malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS adukan Sarawak Report pada polis
Diterbitkan:  Aug 10, 2016 3:59 PM
Dikemaskini: 8:06 AM
ADS

Pemuda PAS menggesa polis menyiasat motif sebenar portal Sarawak Report dengan menerbitkan laporan bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections” pada 8 Ogos lalu.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (WP), Khairil Nizam Khirudin berkata pihaknya mengambil serius dakwaan tersebut keranan ia membabitkan pertuduhan sogokan wang terhadap parti berkenaan.

Sehubungan itu katanya, pemuda PAS WP membuat laporan pihak polis hari ini bagi menggesa siasatan dijalankan ke atas Sarawak Report berhubung dakwaan berkenaan.

Dalam artikel tersebut, katanya, Sarawak Report menerbitkan laporan “RM90 million is widely reckoned to have flowed into the top echelons of PAS in recent months” (RM90 juta dipercayai secara meluas telah mengalir ke dalam pemimpin tertinggi PAS sejak beberapa bulan lalu).

"Sarawak Report juga diminta bertanggungjawab terhadap dakwaan tersebut kerana ia hanya berasaskan suspicion (kecurigaan) dan allegations had been widespread (dakwaan yang tersebar meluas)," katanya dalam kenyataan media selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa Datuk Seri Najib Razak berjaya 'menarik' PAS jauh daripada pakatan pembangkang dan mendakwa dana sebanyak RM90 juta diberi kepada pemimpin atasan PAS sejak beberapa bulan lalu.

Tolak kuasa luar

Selepas diancam untuk disaman oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pengarangnya Clare Rewcastle Brown semalam menjelaskan dakwaan itu dibuat berdasarkan "kecurigaan yang meluas".

Khairil Nizam berkata, pemuda PAS WP menolak sebarang tuduhan liar bagi memberi persepsi negatif terhadap kerjasama politik antara Umno dan PAS.

"Pemuda PAS WP konsisten menentang korupsi, salah guna kuasa, perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh kerajaan dan boleh bermuzakarah dalam perkara-perkara yang membawa kepada kepentingan Islam, rakyat dan negara.

"Dalam kes skandal kewangan yang membabitkan 1MDB, kami sentiasa mendesak supaya diwujudkan Suruhanjaya Diraja dan menolak campur tangan kuasa luar dalam urusan politik negara," jelasnya.

Sementara itu, dalam laporan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS WP, Nurul Islam Mohd Yusof, mereka menyatakan portal Sarawak Report telah menafikan memiliki bukti dakwaan itu dan hanya berdasarkan "cakap-cakap orang".

"Kami menyedari portal yang berpangkalan di United Kingdom itu telah menulis satu laporan palsu terhadap PAS dan wujud pihak di negara ini yang menjadi dalang kepada penyebaran berita keji.

"Saya minta pihak polis menyiasat Sarawak Report dan dalang yang membekalkan maklumat palsu kepada wartawan Sarawak Report," katanya dalam laporan polis berkenaan.

Lihat Komen