malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi belum baca dakwaan PAS terima RM90 juta dari Najib
Diterbitkan:  Aug 10, 2016 1:56 PM
Dikemaskini: 6:03 AM
ADS

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi enggan mengulas dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana belum membaca laporan itu.

“Saya baru balik, tak baca lagi,” katanya, seperti dirakam dalam satu video di YouTube, sebelum meninggalkan pemberita.

Bagaimanapun, soalan sebenar diajukan padanya tidak jelas kedengaran susulan suasana bising orang ramai yang menanti kepulangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.

Sebuah harian melaporkan beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang dibuat dalam laman pembocor maklumat Sarawak Report.

Beliau, yang berkopiah dan berjubah putih, baru pulang daripada menghadiri Persidangan Kesatuan Ulama Sedunia di Turki.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan beliau menyerahkan kepada jawatankuasa pusat PAS untuk bertindak dalam isu itu.

“Saya baru balik... tak baca lagi... saya baru balik... serah kepada Pas Pusat,” beliau dilapor berkata ketiak didesak soalan itu oleh pihak media yang menanti ketibaan beliau sejak jam 2.30 petang semalam.

Sarawak Report mendakwa Najib berjaya 'menarik' PAS jauh daripada pakatan pembangkang dengan RM90 juta mengalir secara meluas kepada pemimpin atasan parti Islam itu sejak beberapa bulan lalu.

Selepas diancam saman, pengarangnya Clare Rewcastle Brown semalam menjelaskan dakwaan itu dibuat berdasarkan "kecurigaan yang meluas".

Beliau membangkitkan pendekatan PAS yang tiba-tiba mesra kepada Umno yang diketuai presiden 'King Of Cash' (raja wang tunai) dan dikaitkan dengan amalan korup.

Sarawak Report yang berpangkalan di London memainkan peranan penting membocorkan dakwaan-dakwaan berkaitan kontroversi 1MDB dan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali telah membersihkan nama perdana menteri dan Najib sendiri menafikan menyalah guna wang untuk kepentingan peribadi.

Lihat Komen