malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Iskandar kecam dakwaan PAS terima RM90 juta dari Najib
Diterbitkan:  Aug 9, 2016 10:49 AM
Dikemaskini: 2:52 AM
ADS

PAS Selangor mengecam tuduhan Sarawak Report yang mendakwa pemimpin PAS menerima RM90 juta daripada Datuk Seri Najib Razak.

Pesuruhjayanya Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, perkara itu cuma khabar angin kerana hanya bersandarkan "kecurigaan meluas".

“Khabar angin yang kami yakin diwujudkan oleh mereka yang berniat jahat untuk memburukkan PAS.

“Kami juga yakin rakyat akan menolak dakwaan ini kerana ia adalah tidak lebih dari sembang-sembang kedai kopi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan bahawa keadaan huru-hara boleh berlaku jika sembang-sembang kedai kopi dijadikan bukti kukuh.

Laman pembocor maklumat itu pada Sabtu mendakwa Najib berjaya 'menarik' PAS jauh daripada pakatan pembangkang dengan RM90 juta mengalir secara meluas kepada pemimpin atasan parti Islam itu sejak beberapa bulan lalu.

Selepas diancam saman, pengarangnya Clare Rewcastle Brown semalam menjelaskan dakwaan itu dibuat berdasarkan "kecurigaan yang meluas".

Beliau membangkitkan pendekatan PAS yang tiba-tiba mesra kepada Umno yang diketuai presiden 'King Of Cash' (raja wang tunai) dan dikaitkan dengan amalan korup.

Sarawak Report yang berpangkalan di London itu sebelum ini memainkan peranan penting membocorkan dakwaan-dakwaan berkaitan kontroversi 1MDB dan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali telah membersihkan nama perdana menteri dan Najib sendiri menafikan menyalah guna wang untuk kepentingan peribadi.

Isu 1MDB hangat kembali selepas aset-aset berkaitan 1MDB menjadi sitaan terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Peguam Negara AS pula mendakwa sekurang-kurangnya RM3.5 bilion wang daripada 1MDB telah “dicuri”, selain menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz dan Malaysian Official 1 dalam saman sivilnya.

Lihat Komen