malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Dakwa terima RM90 juta dari Najib, PAS nak saman S'wak Report
Diterbitkan:  Aug 8, 2016 3:19 PM
Dikemaskini: 8:49 AM
ADS

PAS hari ini mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web Sarawak Report kerana mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS menegaskan berita tersebut adalah palsu dan berniat jahat, selain agenda untuk terus mengaitkannya dengan Umno.

"Sarawak Report berbohong kononnya pimpinan tertinggi PAS menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Tidak pasti apa matlamat fitnah laporan Sarawak Report ini selain hendak menggaitkan PAS dengan Umno.

"Apapun, PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas laporan tersebut yang mempunyai niat jahat dan mencemar nama baik parti dan dasar Islam yang menjadi teras kepada perjuangan PAS," katanya pada kenyataan media.

Tambahnya, tindakan laman web itu menjejaskan dengan teruk kepercayaan orang ramai kepada semua laporan mereka selama ini.

Sabtu lalu, Sarawak Report menerbitkan artikel yang mendakwa Najib merayu PAS agar menjauhi gabungan pembangkang dengan sebanyak RM90 juta dialirkan kepada pemimpin tertinggi parti itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Sarawak Report yang berpengkalan di London dikendalikan oleh Claire Rewcasatle-Brown, yang didakwa Najib adalah sebahagian daripada konspirator untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Laman web ini telah memainkan peranan penting dalam mendedahkan dakwaan salah guna 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri.

Najib menafikan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan namanya dibersihkan daripada sebarang salah laku oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Bagaimanapun, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) baru-baru ini memulakan tindakan undang-undang untuk merampas aset yang didakwa telah diperolehi dengan dana yang disalahgunakan daripada 1MDB.

Lihat Komen