malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tak perlu tukar parti...,' kata Bashah pada ahli Umno
Diterbitkan:  Jul 30, 2016 4:57 PM
Dikemaskini: 9:02 AM
ADS

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyeru semua ahli Umno di negeri itu kekal bersama parti itu dan tidak berpaling tadah dengan menyertai parti baru di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga pengerusi badan perhubungan Umno negeri Kedah berkata ia kerana parti itu telah banyak berjasa kepada rakyat selama ini.

"Tidak perlu tukar parti... duduk sahaja dalam parti ini (Umno) kerana yang dibawa oleh mereka (Dr Mahathir) belum wujud," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mempelawa ahli Umno menyertai parti baru itu.

Mukhriz dalam ucapannya di satu majlis jamuan hari raya di Kodiang semalam meminta ahli Umno menyertai parti baru yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi.

Sementara itu bercakap pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Negeri Kedah di di Jitra hari ini, Ahmad Bashah berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak merampas tanah pertanian milik kerajaan negeri yang disalah guna untuk tanaman ketum

Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf tanaman pokok ketum kerana terdapat banyak tanaman pertanian lain yang boleh menyumbang pendapatan lebih lumayan kepada pengusahanya.

"Jika ada pengusaha yang gunakan tanah kerajaan negeri untuk tanaman ketum, yang bukan tanaman yang diiktiraf, kita tidak teragak-agak untuk merampasnya.

Kita akan menggunakan peruntukan undang-undang tertentu untuk berbuat demikian," katanya.

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga diminta mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti penanaman ketum di negeri ini.

- Bernama

Lihat Komen