malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khalid: Semua perhimpunan tertakluk kepada PAA
ADS

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semua perhimpunan yang diadakan di negara ini - termasuk BERSIH 5 jika diadakan nanti - tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2011.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak terhadap kemungkinan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan digunakan bagi menghadapi perhimpunan BERSIH 5.

Akta MKN akan mula berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini.

"Apa kena mengena (Akta) Majlis Keselamatan Negara dengan perhimpunan? Semua perhimpunan dikendalikan oleh PAA.

"Saya tidak nampak apa relevan antara Akta MKN dengan orang ramai yang mahu berhimpun.

"Saya tidak nampak ia akan digunakan untuk tujuan itu," katanya di sidang media di Kuala Lumpur siang tadi.

Ditanya lebih lanjut Khalid menegaskan hanya PAA akan digunakan bagi mengawal perhimpunan awam.

Katanya, jika penganjur mengikut ketetapan undang-undang semua perhimpinan akan berlangsung dengan aman.

"Kita (polis) sepatutnya memudahkan, mengapa tidak anda membenarkan kami untuk memudahkan apa jua tujuan perhimpunan yang anda mahu buat?" katanya.

Khalid juga berkata beliau mengalu-alukan perhimpunan - termasuk BERSIH 5 - jika ia diadakan mengikut peraturan undang-undang.

Ditanya sama ada polis akan menggunakan MKN jika perhimpunan itu menjadi tidak terkawal, Khalid menegaskan tindakan itu hanya akan diambil jika wujud ancaman terhadap keselamatan negara.

"Kita tengok bagaimana situasinya (ketika perhimpunan itu diadakan). Jika mengancam keselamatan negara, ya, semua peruntukan undang-undang akan digunakan," katanya.

Berkenaan kemungkinan Akta MKN akan digunakan bagi kegiatan politik yang dianggap mengancam keselamatan negara Khalid berkata ia bergantung kepada keadaan.

"Anda jangan cuba dan membayangkan sesuatu, dan jangan biakan rakyat membayangkannya. Jika ia berlaku, polis akan menanganinya," kata Khalid.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen