malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
1MDB: Jangan bergantung lagi pada 2 laporan kewangan lalu
Diterbitkan:  Jul 26, 2016 9:15 PM
Dikemaskini: 1:21 PM
ADS

1MDB hari ini berkata penyata kewangan 2013 dan 2014 yang diaudit sebelum ini tidak lagi boleh digunakan sehingga dakwaan dibuat Jabatan Kehakiman (DOC) AS ditentukan di mahkamah.

Bagaimanapun kata syarikat itu tindakan berkenaan diambil hanya sebagai "langkah berjaga-jaga".

"Walaupun lembaga tetap yakin bahawa tiada kesalahan dilakukan 1MDB, dan penyata kewangan yang telah diaudit sebelum ini terus menunjukkan gambaran sebenar dan saksama mengenai hal ehwal syarikat pada masa berkenaan, lembaga memutuskan, sebagai langkah berjaga-jaga, penyata kewangan 2013 dan 2014 yang diaudit tidak lagi boleh digunakan oleh mana-mana pihak sehingga keputusan muktamad mahkamah dibuat berhubung dakwaan tertentu seperti dinyatakan aduan (DOC) berkenaan," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 Julai lalu DOJ mengemukakan dua saman sivil untuk menyita pelbagai aset dan harta tanah bernilai lebih AS$1 bilion didakwa diperoleh melalui wang 1MDB yang diselewengkan.

Turut menarik perhatian, beberapa nama disebut dalam dokumen berkenaan termasuk anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dan hartawan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho yang lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Seorang individu lain juga disebut namun identitinya tidak didedahkan kecuali dirujuk sebagai Malaysian Official 1.

Kenyataan hari ini menyebut 1MDB juga sedang mencari juruaudit baru selepas firma sebelum ini, Deloitte, menyatakan keinginan mereka menarik diri pada 26 Februari lalu.

Bagaimanapun, kata syarikat berkenaan, Deloitte kekal sebagai juruaudit 1MDB, termasuk untuk anak syarikatnya TRX City Sdn Bhd, Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Edra Bhd sehingga firma baru dilantik.

[Baca berita asal]

Lihat Komen