malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan teliti, tambah baik perundangan siber
Diterbitkan:  Jul 26, 2016 6:42 PM
Dikemaskini: 12:00 PM
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan meneliti dan menambah baik undang-undang berkaitan siber.

Tindakan ini penting bagi membendung penyalahgunaan teknologi maklumat dan media sosial, jelas beliau yang juga anggota parlimen Pengerang.

"Melihat kepada perkembangan hari ini, pengaruh media sosial memainkan peranan besar dalam kehidupan masyarakat hari ini.

"Walaupun terdapat undang-undang yang mencukupi namun sudah masanya untuk kerajaan meneliti dan menambah baik undang-undang berkaitan siber bagi membendung penyalahgunaan teknologi maklumat dan media sosial.

"Selain itu juga, terdapat pihak-pihak tertentu menyalah gunakan media sosial untuk tujuan penipuan, merekrut pengganas, dan menanam kebencian terhadap kerajaan serta menganggu gugat keharmonian negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin mendakwa terdapat percubaan oleh Putrajaya untuk membeli dan mengawal portal berita.

Beliau yang juga adalah bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times berkata dirinya dimaklumkan oleh pemilik sebuah portal berita bahawa langkah itu sedang dimulakan oleh peneraju media dan propaganda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia melahirkan kebimbangan mengenai cadangan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) yang dikhuatiri menyekat peranan media atas talian dalam menyampaikan berita kepada masyarakat umum.

Majlis eksekutif kesatuan itu berkata, ini penting kerana media atas talian kini memainkan peranan lebih besar dalam menyalurkan berita.

"Sebarang usaha untuk mengetatkan kawalan dalam pelaporan berita secara atas talian bukan hanya menyekat kebebasan maklumat malah menidakkan hak demokratik rakyat negara ini," jelasnya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, pihaknya tidak dinafikan manfaat media sosial sebagai ejen perhubungan yang mudah, cepat dan murah.

"Namun peningkatan trend serangan siber serta penyalah gunaan media sosial dilihat semakin berleluasa. Perkara itu menjadi antara kebimbangan kerajaan apabila melihat kepada ancaman semasa terutama dalam aktiviti keganasan.

"Kerajaan juga tidak bercadang untuk menyekat kebebasan bersuara dan hak menggunakan ruang siber. Bagaimanapun, penelitian terhadap undang-undang siber ini perlu dibuat bagi melindungi pengguna daripada terus menjadi mangsa.

"Penelitian semula ini bertujuan mencari satu titik keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab pengguna," tambah beliau.

Lihat Komen