malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Umno kenal siapa, apa di balik tabir drama DOJ'
Diterbitkan:  Jul 26, 2016 3:47 PM
Dikemaskini: 10:08 AM
ADS

Umno berpendapat dakwaan ada ahli akar umbi parti itu akan 'berhijrah' ekoran saman sivil yang dikemukakan Jabatan Keadilan (DOJ) AS berkaitan skandal 1MDB hanyalah permaian minda (mind game) pihak lawan.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata beliau percaya dakwaan tersebut tidak akan berlaku dan majoriti ahli parti memahami "apa dan siapa" di belakang tabir "drama" yang sedang berlaku.

“Percubaan mereka-reka cerita kononnya Umno dalam keadaan tertekan, panik dan berpecah adalah satu percubaan mind game atau permainan minda untuk melihat Umno hilang kesabaran dan tenggelam atau mati punca,” kata Annuar dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam bekas editor kanan New Straits Times, Firdaus Abdullah meramalkan beberapa pemimpin tertinggi Umno akan beralih kepada pembangkang ekoran tindakan undang-undang DOJ mahu merampas berbilion-bilion aset didakwa diperoleh menggunakan dana 1MDB.

Laporan South China Morning Post memetik Firdaus sebagai berkata, para pemimpin Umno itu sudah memulakan perbincangan dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Umno dalam keadaan gundah-gulana. Beberapa pemimpin kanan parti itu telah mula 'berbincang' dengan Mahathir," ujar Firdaus.

Mengulas lanjut anggota parlimen Ketereh itu menegaskan Umno sentiasa memandang serius perkembangan isu berkenaan.

"Dakwaan bahawa Umno memandang remeh isu ini adalah tidak benar.

“Umno, BN dan kerajaan akan bekerjasama dengan semua pihak yang sah supaya siasatan dapat dijalankan segera dan proses mahkamah berjalan dengan adil dan menurut undang-undang,” kata Annuar.

Sementar itu kata Annuar Umno dan BN memahami saman DOJ itu perlu ditangani dengan berhati-hati walaupun ada pihak bersungguh-sungguh mahu menjadikan isu itu berlaku mengikut grand design (rancangan besar) mereka.

“Umno dan BN tidak akan membiarkan mereka dan sama sekali tidak akan menari mengikut rentak mereka,” kata Annuar.

Beliau juga menyokong penuh penegasan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kerajaan sangat menjunjung amalan urus tadbir baik (good governance) dalam segala urusan serta memberi jaminan semua yang cuba dituduh berpeluang membersihkan nama mereka mengurut undang-undang, dan memastikan tiada wang rakyat yang disalahgunakan,” tambah Annuar.

Lihat Komen