malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siapa muat naik laporan 1MDB ke blog Rafizi?
ADS

Pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang menyiasat blog Rafizi Ramli mengakui tidak dapat mengenal pasti siapa yang mengendalikan rafiziramli.com.

Timbalan Pengarah SKMM Mohd Zamiri Sanim, 35, berkata demikian ketika disoal balas sebagai saksi pendakwaan hari ini, semasa pendengaran kes Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) terhadap anggota parlimen Pandan.

Peguam Rafizi Gobind Singh Deo mengendalikan soal balas itu.

Gobind: Kamu setuju dengan saya bahawa kamu tidak dapat tentukan siapa kendalikan laman web itu.

Zamiri: Setuju.

Gobind: Saya katakan bahawa kamu tidak dapat tentukan apa yang dimuat naik ke laman web.

Zamiri: Tidak, saya tidak setuju.

Gobind: Saya katakan kamu juga tidak dapat tentukan siapa yang muat naik kandungannya?

Zamiri: Saya setuju.

Semasa proses soal balas, Zamiri menegaskan bahawa laman itu memaparkan nama Rafizi dan gambarnya.

Pada 30 Jun lalu, Zamiri memberitahu perbicaraan sama bahawa beliau diminta oleh polis untuk menyiasat laman itu pada 11 April, yang mengandungi petikan daripada Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang berstatus sulit.

Beliau berkata, semasa menyiasatnya, beliau percaya laman itu milik Rafizi.

Rafizi didakwa bawah Seksyen 8(1)(c)(iii) dan 8(1)(c)(iv) OSA atas dakwaan memproses dan mengedarkan halaman daripada laporan 1MDB tanpa kebenaran.

Beliau dikatakan berbuat demikian pada 28 Mac lalu dalam sidang media di lobi parlimen.

Dokumen itu dikatakan membuktikan kaitan antara 1MDB dan sebuah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Kandungannya bagaimanapun tidak dapat dilaporkan kerana status sulit itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen