malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Siasat kebocoran dokumen OSA oleh Sarawak Report'
Diterbitkan:  Jul 8, 2016 2:31 PM
Dikemaskini: 11:00 AM
ADS

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mahu polis menyiasat kebocoran dokumen penting dalam penyiasatan 1MDB baru-baru ini oleh Sarawak Report.

"Polis mesti menyiasat pengakuan terbaru Sarawak Report bahawa ia memiliki dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), kata Salleh kepada Malaysiakini.

Menurutnya, kerajaan mengklasifikasikan dokumen tertentu di bawah OSA untuk tujuan keselamatan negara.

"Beberapa dokumen kerajaan adalah ditakrifkan sebagai dokumen rahsia di mana ia diletak bawah OSA. Adanya akta seperti ini adalah untuk memastikan keselamatan negara," katanya.

Beliau menjelaskan siasatan segera ke atas Sarawak Report perlu bagi mengelakkan kebocoran seterusnya dokumen rasmi rahsia yang boleh membahayakan keselamatan negara.

"Sebaik mengenal pasti sumber ketirisan tersebut, individu
yang terlibat dan organisasi yang bersekongkol perlu diheret ke mahkamah.

"Mahkamah adalah sebuah institusi berkecuali untuk menegakkan undang-undang negara, tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Keperluan untuk tindakan sedemikian akan memastikan integriti dan kedaulatan negara," kata Salleh.

Laman web pendedah maklumat yang berpangkalan di London itu sejak semalam menerbitkan beberapa kandungan apa yang didakwa sebagai laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB walaupun dokumen berkenaan diklasifikasikan sebagai sulit di bawah (OSA).

Hari ini, Sarawak Report megemukakan sepucuk surat yang kononnya daripada Bank Negara Malaysia, yang ditandatangani oleh timbalan gabenor bank pusat itu kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang juga menyiasat 1MDB.

Menurut portal itu, ia akan terus menerbitkan maklumat lanjut daripada laporan Ketua Audit Negara pada hari-hari akan datang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen