malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

PKR hari ini meminta polis melakukan siasatan menyeluruh dan membawa pihak yang terbabit dalam pembunuhan pemimpin parti itu di Sarawak, Bill Kayong, segera.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata ketika dalang di sebalik pembunuhan itu belum didakwa berlaku siri ugutan berterusan terhadap pimpinan lain parti berkenaan.

"Apa yang mencemaskan ialah penerusan siri ugutan terhadap pimpinan PKR lainnya, termasuk Pengerusi PKR Cabang Miri merangkap MP kawasan itu, Dr Michael Teo," kata Nurul Izzah kepada pemberita di luar Bukit Aman hari ini.

Pada 21 Jun lalu Bill ditemui mati dengan kesan tembakan jarak dekat di persimpangan berlampu isyarat di Jalan Kuara Baram.

Bill adalah calon PKR untuk kerusi DUN Bekenu pada pilihan raya Sarawak 7 Mei lalu namun kalah kepada calon BN Rosey Yunus.

Mangsa juga adalah setiausaha politik kepada Teoh.

Nurul Izzah berkata PKR menuntut polis melakukan siasatan menyeluruh dan membawa pihak yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Bill dihadapkan ke muka pengadilan.

Kata MP Lembah Pantai itu, umum mengetahui minggu lalu polis telah menahan reman enam individu untuk mengambil keterangan dalam membantu siasatan kes berkenaan.

Justeru, Nurul Izzah berkata beliau berharap pihaknya dapat bertemu pasukan penyiasat kes berkenaan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kes berkenaan.

Sebelum itu Nurul Izzah tiba kira-kira jam 11.30 di depan Bukit Aman untuk menghantar memorandum kepada Polis Diraja Malaysia menuntut keadilan ke atas kematian Bill.

Beliau tiba mewakili parti dan masyarakat yang bimbang kerana ugutan terhadap kepimpinan PKR masih berlaku.

Pertemuan itu kata Nurul Izzah juga mahu menunjukkan bahawa tiada kompromi bagi budaya jenayah di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen