malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mesyuarat DAP akan tentukan kedudukan Guan Eng
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 4:09 PM
Dikemaskini: 8:17 AM
ADS

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memaklumkan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang akan berjalan seperti biasa meskipun dirinya terpalit dengan dua pertuduhan rasuah di mahkamah tinggi hari ini.

Disoal wartawan, sama ada beliau akan mengosongkan jawatannya, Lim pada sidang akhbarnya di Georgetown, berkata keputusan hanya akan dibuat selepas DAP mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.

Menurutnya,  sama ada beliau akan bercuti buat sementara, termasuk keperluan melantik pemangku ketua menteri, akan ditentukan pada mesyuarat itu.

“ DAP akan menjalankan mesyuarat dan akan menentukan mengenai perkara ini (jawatan ketua menteri).

"Buat sementara ini, ia berjalan seperti biasa dan parti akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu," katanya.

Lim bagagaimanapun, enggan memaklumkan bila mesyuarat berkenaan akan diadakan.

Ketua menteri itu didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial.

Beliau juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, ahli perniagaan wanita Phang Li Khoon, yang menjual banglonya kepada Lim pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengannya.

Lihat Komen