malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Selepas doktor wanita, bakal ibu minta pakaian tutup aurat
ADS

Selain mahukan khidmat doktor wanita, ada kalangan bakal ibu yang meminta kebenaran pihak hospital untuk memakai pakaian patuh syariah ketika pemeriksaan kandungan.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang doktor bersalin sebuah hospital kerajaan yang berkata selain pesakit tersebut meminta kelahiran anaknya disambut doktor dan jururawat wanita, mereka juga mahukan pakaian menutup aurat.

“Ketika bersalin, pakaian ada prosedurnya dan pakaian bersalin semua sama. Tapi ada pesakit yang meminta untuk pakai pakaian mamapride (patuh syariah).

“Beliau (pesakit) meminta untuk memakainya bukan ketika bersalin tetapi ketika periksa kandungan,” katanya kepada Malaysiakini.

Doktor berkenaan yang bertugas di sebuah hospital di Selangor berkata, sepanjang kerjayanya sebagai doktor bersalin, ramai bakal ibu yang meminta doktor wanita menyambut kelahiran bayi mereka atas faktor agama.

Bagaimanapun, ia bergantung jumlah doktor wanita yang bertugas di sesebuah hospital.

“Sekiranya tidak ada doktor wanita, doktor lelaki juga ada, apa pun keselamatan dan nyawa pesakit diutamakan,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Katanya lagi, kebiasaan proses kelahiran bayi itu disambut oleh bidan dan jururawat, manakala kehadiran doktor diperlukan sekiranya berlaku komplikasi terhadap pesakit.

“Sekiranya ada komplikasi, doktor akan dipanggil seperti ibu itu diserang sawan, tumpah darah dan uri lekang. Dalam keadaan itu sangat bahaya dan mendebarkan dan ia harus dilakukan dengan sebaik mungkin supaya semuanya selamat,” katanya.

Semalam Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rawatan kepada pesakit oleh doktor yang sama jantina bukan suatu polisi wajib.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kerajaan mempunyai rancangan untuk mengkhususkan doktor wanita sahaja bagi menyambut kelahiran bayi di hospital awam.

Bagaimanapun Hilmi berkata rancangan itu belum dapat dilaksanakan kerana kekurangan doktor wanita dalam bidang Perbidanan dan Sakit Puan (O&G).

Pada tahun 2013, Kementerian Kesihatan turut menerima petisyen untuk membenarkan hanya doktor dan jururawat wanita di bilik dan wad bersalin demi menjaga maruah dan aurat pesakit wanita, khususnya yang beragama Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen