malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Guan Eng minta dibicarakan, ikat jamin ditetapkan pada RM1 juta
ADS

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dijangka didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial.

Beliau juga akan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, ahli perniagaan wanita Phang Li Khoon, yang menjual banglo tersebut kepada Lim, juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen George Town.

Beliau akan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung penjualan banglo.

Malaysiakini membuat liputan LANGSUNG.


12:15pm: Mahkamah Tinggi menetapkan 22 September depan sebagai pengurusan kes.

Mahkamah ditangguhkan dan Guan Eng dijangka mengadakan sidang akhbar di Dewan Bandaran, iaitu kira-kira 500 meter dari bangunan mahkamah.

11:50am: Di Mahkamah Tinggi, Lim mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azmi Ariffin.

Azmi kemudian menetapkan ikat jamin pada RM1 juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah tidak memerintahkan Lim menyerahkan pasportnya tetapi beliau perlu memaklumkan kepada mahkamah dan Jabatan Peguam Negara, dua hari sebelum ke luar negara.

Azmi turut menetapkan wang jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin bagi Phang.

11:15am: Lim dan Phang dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen menuju ke Mahkamah Tinggi, yang terletak di blok bersebelahan.

Exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh meluahkan rasa tidak puas hati, mempersoalkan mengapa Phang, yang adalah saudaranya dipegang tangannya oleh anggota polis ketika meninggalkan bilik perbicaraan.

"Dia (Phang) bukan mahu melarikan diri," katanya dengan berang.

Seorang ahli keluarga wanita Phang iaitu seorang wanita tua, juga mengadu kerana dia tidak dibenarkan mengiringi Phang apabila ahli perniagaan itu dibawa keluar.

10.40am: Pertuduhan terhadap Phang dibacakan oleh seorang pegawai mahkamah. Apandi memberitahu mahkamah bahawa beliau dan pasukannya akan mendakwa Phang.

Phang dituduh melakukan kesalahan itu pada 28 Julai 2015 di mana dia bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan "hartanah bernilai ' RM2.5 juta yang diketahuinya berada di bawah nilai pasaran sebagai nilai harta yang ketika itu adalah RM4.27 juta.

"Beliau (Guan Eng) memperolehi hartanah itu dengan mengetahui bahawa anda mempunyai urusan perniagaan dengan kerajaan negeri," pertuduhan itu dibacakan.

Phang didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan. Pertuduhan itu dibacakan bersama Seksyen 165 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Apandi memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Hakim Roslan bersetuju dengan permintaan Apandi dan menyatakan: "Kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini untuk sebutan".

Mahkamah kemudian ditangguhkan.

10.30am: Hakim Mahkamah Sesyen Roslan mengambil tempat.

Apandi memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat enam anggota dalam pasukan pendakwaan.

Gobind memperkenalkan pasukannya terdiri daripada 10 orang peguam.

Dua pertuduhan terhadap Guan Eng kemudiannya dibacakan.

Yang pertama dia didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk memanfaatkan dirinya dan isteri dengan meluluskan pengezonan semula sebidang tanah kepada Magnificient Emblem Sdn Bhd, dan pertuduhan kedua adalah berkaitan dengan dia memperolehi harta di bawah nilai pasaran di 25, Jalan Pinhorn dari Phang Li Khoon.

Guan Eng mengenakan tali leher merah kegemarannya manakala Phang berpakaian putih dan hitam. Dia kelihatan pucat.

Nilai harta ketika itu RM4.27 juta. Guan Eng dituduh melakukan kesalahan itu pada 26 Julai 2015.

Guan Eng berkata, beliau faham pertuduhan itu.

Apandi memberitahu mahkamah bahawa terdapat senarai saksi yang akan diberitahu kemudian.

Beliau kemudian meminta kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 60 Kanun Tatacara Jenayah.

Roslan bersetuju untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk sebutan hari ini.

10.18am: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memasuki dewan mahkamah. Penyokong Guan Eng mengeboo dan melaungkan "Bebas Guan Eng, tangkap Najib" boleh didengar di luar.

Apandi mengambil tempat beliau dengan pasukan pendakwaan dan dilihat berbual dengan peguam Guan Eng, Gobind Singh.

Pemimpin utama PKR negeri turut berada di mahkamah. Ia termasuk Timbalan Ketua Menteri I Rashid Hasnon, Exco mengenai hal ehwal agama Abdul Malik Kassim dan Pengerusi PKR negeri, Mansor Othman.

10.04am: Guan Eng memeluk ibunya dan isterinya Betty. Beliau bersalaman dengan bapanya, Kit Siang.

Guan Eng tersenyum dan memberitahu wartawan, "Saya baik-baik saja", dan dilihat berbincang dengan peguam dan Gobind Singh.

10am: Guan Eng dibawa masuk ke dalam mahkamah.

9.45am: Lim Kit Siang tiba bersama keluarga. mereka memasuki dewan mahkamah.

Phang diwakili peguam K Kumaraendran dan Devkumar Kumarendran.

Hakim Mahkamah Sesyen Roslan Hamid mendengar kes itu.

9am: Mahkamah penuh sesak. Tempat duduk dipenuh petugas media dan beberapa pegawai Cawangan Khas.

Pasukan peguam Guan Eng termasuk Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, M Kulasegaran dan RSN Rayer.

Isteri Karpal Singh, Gurmit, turut hadir di mahkamah. Begitu juga bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Guan Eng dan Phang Li Khoon dijangka didakwa di mahkamah pada pukul 10 pagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen