malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jawatan menteri suntik semangat Noh Omar rampas Selangor
Diterbitkan:  Jun 27, 2016 6:43 PM
Dikemaskini: 10:54 AM
ADS

Pelantikan Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam rombakan kabinet hari ini memberinya semangat dan suntikan baru dalam misi merampas semula kerajaan negeri Selangor pada pilihan raya umum ke-14.

Dalam satu kenyataan media, katanya, berkat sokongan dan kerjasama BN Selangor yang akan dipertingkatkan, beliau yakin matlamatnya itu akan tercapai.

“Tanpa kerjasama sebagai satu pasukan tentulah saya tidak berjaya memimpin BN Selangor khususnya memenangi pilihan raya kecil di Sungai Besar (pada 5 Mei) lalu.

“Tapi dengan berkat sokongan dan kerjasama, maka saya lihat BN Selangor akan dapat dipertingkatkan lagi dan yang penting matlamat saya mesti dapat menawan Selangor kembali pada PRU-14.

“Jadi dengan perlantikan yang baru ini akan memberikan semangat baru, suntikan baru dan akan memudahkan saya untuk menguruskan masalah rakyat terutamanya rakyat dalam bandar,” katanya.

Menurutnya, tanggungjawab baru itu satu amanah untuknya membela masyarakat.

“Ini bukanlah satu kebanggaan kepada saya kerana sebelum ini saya pernah menjawat jawatan dan menjadi menteri.

“Ada jawatan dan tiada jawatan dan semua ini saya pernah lalui, tetapi ini adalah satu amanah yang yang akan saya pikul untuk saya memberikan pembelaan kepada masyarakat bandar khususnya untuk memerangi kemiskinan bandar yang menjadi wawasan kerajaan,” katanya.

Ini kali kedua Noh menyertai kabinet. Sebelum ini, beliau adalah menteri pertanian dan industri asas tani dari 2009 sehingga 2013.

Pelantikan itu selepas beliau selaku pengerusi perhubungan Umno Selangor berjaya membawa BN kepada kemenangan besar pada pilihan raya kecil di Sungai Besar dengan meningkatkan majoriti mereka daripada 399 undi pada 2013 kepada 6,969 undi.

Noh mengambil alih daripada Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU)

Sepanjang tempohnya sebagai menteri, Noh didakwa terpalit dalam skandal ternakan udang.

Pada tahun 2012, ADUN Sekinchan Ng Suee Lim memberitahu Dewan Undangan Negeri Selangor yang Noh terbabit dalam usaha sama dengan syarikat penternakan udang Pristine Agrofood Sdn Bhd yang didakwa bercanggah dengan jawatan menteri yang disandangnya.

Pristine Agrofood, bagaimanapun, menegaskan bahawa Noh hanya pemilik tanah ladang udang, manakala Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menafikan mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Lihat Komen