malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS: Tiada janji bahagi negeri dengan Umno
Diterbitkan:  Jun 27, 2016 3:23 PM
Dikemaskini: 8:05 AM
ADS

PAS membidas dakwaan mempunyai perjanjian dengan Umno berkaitan pembahagian negeri, dengan mereka diberikan negeri majoriti Melayu – Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Mengulas dakwaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, PAS Kedah berkata dakwaan itu sangat dangkal, berunsur fitnah dan hanya sebuah “propaganda buruk”.

Ia juga, katanya, tidak selayaknya dikeluarkan oleh seorang yang pernah menjawat kedudukan menteri besar.

“Sehubungan itu Datuk dinasihat agar lebih profesional dan menjadi diri Datuk yang sebenar-benar serta menumpukan tanggung jawab selaku ADUN.

“Datuk tidak perlu lagi menjadi boneka atau nujum Pak Belalang,” kata pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Selepas dipecat Umno Jumaat lepas, Mukhriz semalam mengesyaki wujud perjanjian itu dan mendakwa “tanda-tanda sudah ada”.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Fakhruddin mengingatkan bahawa Mukhriz dijatuhkan oleh kumpulan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah atas alasan beliau mempunyai kelemahan dan boleh hilang negeri kepada PAS.

“Tidak mungkin mereka yang membunuh politik Datuk atas sebab itu tiba-tiba hendak melepaskan Kedah kepada PAS” katanya.

Beliau juga berkata dakwaan itu juga menggambarkan "seolah-olah pemerintahan boleh dipotong bahagi seperti kuih bengkang".

“PAS tidak menjadikan jalan singkat, pemerdayaan dan tipu muslihat untuk merampas kedudukan.

“PAS juga tidak dayus untuk membiarkan Umno terus bermaharajalela dengan maksiat dan kemungkaran pemerintahan.

Lihat Komen