malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kami tak aibkan 'Cikgu Man saksofon', kata JKM
ADS

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda menafikan pihaknya telah mengaibkan seorang lelaki yang bermain saksofon dengan merampas alatan muziknya di Bazar Ramadan Taman Delima Sungai Petani, minggu lalu.

Pegawai JKM, Adnan Abdul Rashid berkata, beliau telah memberitahu lelaki itu, Abd Rahman Zainol, 57 atau lebih mesra dengan nama Cikgu Man bahawa aktivitinya boleh menjerumus kepada aktiviti meminta sedekah.

Katanya, Cikgu Man telah bermain saksofon dengan meletakkan bekas untuk diisi wang oleh pengunjung yang hadir.

“Kita bukan aibkan dia, kita cakap dengan dia baik-baik, encik punya aktiviti ini tak boleh kerana ia menjerumus kepada orang minta sedekah. Kalau orang lain, kita ambil tindakan, pada encik pun kita kena ambil tindakan.

“Cikgu Man ini bagus, dia bagi respon yang baik jadi barang-barang dia kita tolong angkat masuk van, kita minta tandatangan akujanji, kita pulangkan saksofon dia, kita tak rampas,” katanya kepada Malaysiakini.

Pemegang diploma jazz

Sabtu lalu, seorang lelaki yang merupakan menantu kepada Cikgu Man telah memuat naik status di Facebook dengan mendakwa ayah mertuanya telah dimalukan oleh JKM dengan alasan meminta sedekah dengan bermain Saksofon.

Katanya, ayah mertuanya pemegang diploma dalam Jazz dari sebuah sekolah muzik di Pulau Pinang dan pernah bermain saksofon di hadapan sultan Kedah.

Lelaki itu mendakwa JKM meminta ayah mertuanya menandatangani akujanji untuk tidak lagi mengemis dan sekiranya mengingkarinya, beliau akan dihantar ke rumah orang tua-tua Bedong.

Ujarnya lagi, susulan perkara itu, pihak keluarga Cikgu Man telah melantik seorang peguam bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap JKM.

Sementara itu, Adnan berkata, pada hari tersebut, pihaknya menjalankan operasi menyelamat kutu rayau dan pengemis dengan terjumpa Cikgu Man yang sedang bermain alat muzik.

Cikgu Man didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 2 Akta Orang-orang Papa 1977 iaitu mengemis atau mendorong pemberian sedekah dengan berpura-pura menyanyi, bermain, berlakon dan menawarkan sesuatu untuk jualan.

Adnan berkata, selepas operasi itu, pihaknya membawa pengemis-pengemis yang telah ditahan ke pejabatnya bagi menandatangani akujanji dan majlis berbuka puasa bersama-sama.

Malah katanya, beliau melayan Cikgu Man dengan baik apabila mempelawanya untuk makan semeja bersamanya dan pegawai-pegawai lain.

“Kita bawa majlis buka puasa di pejabat saya dan dia duduk semeja dengan saya, dengan pegawai-pegawai lain di peringkat Alor Setar dan orang lain saya tak jemput,” katanya.

Malah katanya, pihaknya turut menghantar Cikgu Man ke tempatnya ditahan kerana beliau tidak mempunyai telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarganya.

“Kita tanya dia ada tak orang yang akan jemput dia pulang dan dia kata, dia tak ada telefon, tak boleh nak hubungi ahli keluarga terdekat.

“Oleh sebab dia tak ada kenderaan jadi kita hantar dia bersama tujuh pegawai kita ke tempat yang kita ambil kerana ada motor dia di situ.

“Kita pulangkan saksofon, dan gambar-gambar allahyarham Tan Sri P Ramlee, kita bagi lagi bubur lambuk untuk dia bawa pulang,” katanya.

Lihat Komen