malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Saya takkan melutut'
Diterbitkan:  Jun 25, 2016 5:14 PM
Dikemaskini: 11:14 AM
ADS

Selepas kira-kira 24 jam dipecat Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berikrar tidak akan hidup melutut kerana bukan prinsipnya tunduk bersekongkol dengan perbuatana jahat pemimpin perosak bangsa dan negara.

Menegaskan bahawa "obor perjuangan dalam jiwa" beliau akan terus menyala bekas timbalan perdana menteri itu menegaskan beliau tidak akan merayu terhadap keputusan Majis Tertinggi Umno (MT) semalam.

Muhyiddin juga menyeru "bangsa Melayu" supaya bangkit memperjuangkan integriti supaya tidak diperkotak-katikkan oleh pemimpin rasuah dan tamak haloba.

"Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. InsyaAllah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini," katanya dalam kenyataan terbuka hari ini.

Muhyiddin yang juga bekas timbalan presiden Umno dipecat daripada parti itu bersama bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam.

Seorang lagi pemimpin yang berada bersama kelompok itu ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Beliau tidak dipecat sebaliknya digantung sehingga Jawatankuasa Disiplin Umno menyiapkan laporan mengenainya.

MT Umno berpendapat Muhyiddin dan Mukriz perlu diambil tindakan selepas membantu pembangkang.

Sentuh skandal moral, kewangan

Kata Muhyiddin selepas lebih empat dekad melalui pelbagai cabaran dalam Umno, beliau tidak pernah meninggalkan perjuangan atau mengkhianati parti.

"Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya.

"Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah Umno dan negara yang melibatkan perdana menteri," katanya.

Begitu juga, kata Muhyiddin, nasib yang menimba Mukhriz dan Mohd Shafie.

"Segala-galanya berlaku hanya kerana kami mengambil langkah berani menegur perdana menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan Umno yang asal," katanya.

Umno yang ada kini, kata Muhyiddin, berubah menjadi sebuah parti hanya dikuasai seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya.

Dalam keadaan begitu, katanya, pihak yang melakukan jenayah merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman setimpal, sebaliknya mereka yang berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat.

"Mereka yang menguasai Umno boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara," katanya.

Anggota parlimen Pagoh itu juga memberitahu sudah menjangkakan pemecatan itu sejak awal walaupun menganggap beliau tidak pernah mengkhianati Umno.

Sebaliknya kata Muhyiddin, apa yang dilakukan adalah menentang pemimpin Umno yang "korup dan menyeleweng".

"Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan.

"Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

"Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

"Saya reda dengan ketentuan Allah. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin Umno dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen