malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Termizi tinggalkan PAS kerana untuk jawab kepada Allah
ADS

Calon Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi kerusi pilihan raya kecil Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli hari ini menjelaskan sebab-sebab beliau meninggalkan PAS dan menyertai partinya sekarang.

Bekas profesor berusia 61 tahun itu berkata beliau menyertai AMANAH kerana tanggungjawabnya kepada agama dan juga negara.

Menurut Termizi, beliau sepatutnya menikmati persaraannya serta menghabiskan sisa hidupnya menjaga cucu-cucunya, tetapi ini tidak boleh dilakukannya kerana tanggungjawabnya terhadap agama dan negara tidak dapat dijalankan oleh PAS.

“PAS telah tidak mainkan peranan melaksanakan tanggungjawab agama dan juga kepada kepada negara. Jadi apa pilihan kepada saya?

“Apa saya nak jawab kepada Allah nanti, bila berlaku macam (sekarang) ini,” kata Termizi pada sidang media pertamanya dengan media berbahasa Melayu dan Inggeris di Kuala Kangsar hari ini.

PAS, katanya, seolah-olah ‘berehat’ daripada apa yang mereka sepatutnya lakukan.

“(PAS) ia macam nak berehat, bukan gagal, gagal tak tahu la, itu urusan Allah.

“Rasa macam nak berehat, tak apalah biar dia (PAS) berehat dahulu,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa pilihan raya kecil Kuala Kangsar adalah peluang terbaik untuk memastikan supaya PAS 'berehat'.

“Itu serah kepada Allah, kita cuma berusaha, buat yang terbaik. PAS rehat tak rehat, kita serah kepada Allah,” katanya.

Bekas pakar fizik nuklear itu pada sidang akhbar sebelum ini mengakui bahawa beliau pernah menjadi ahli PAS.

“Saya PAS daripada dalam perut mak. Bukan aktivis, ahli saja. There's no love lost.

“Tapi kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi (saya),” katanya.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pada malam Isnin lalu, mendedahkan bahawa Termizi diletakkan sebagai calon parti itu di sebalik pelbagai NGO tidak mahu bekas ahli PAS menentang PAS.

Termizi pada sidang akhbar hari ini berkata beliau bukan aktivis parti Islam itu.

“Saya tak terikat dengan baiah (PAS), tak ada pegang jawatan, ahli parti biasa saja,” katanya.

Beliau juga mengakui menyertai PAS semasa era reformasi tetapi tidak ingat tarikh yang tepat.

Termizi berdepan dengan calon BN Datin Mastura Mohd Yazid, calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dalam pertandingan empat penjuru perebutan kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terbunuh dalam nahas helikopter semasa berkempen untuk pilihan raya negeri Sarawak bulan lalu.

Lihat Komen