malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Remaja hina TMJ dihukum penjara setahun
Diterbitkan:  Jun 7, 2016 1:59 PM
Dikemaskini: 6:46 AM
ADS

Seorang remaja lelaki dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana menghina Tuanku Mahkota Johor, Tuanku Ismail Sultan Ibrahim.

Hukuman itu dijatuhkan selepas remaja itu mengaku bersalah atas 14 pertuduhan membuat komen bersifat jelek terhadap beliau menerusi laman sosial Facebook, antara Mac dan April lalu.

Utusan Malaysia melaporkan Muhammad Amirul Azwan Mohd. Shakri, 19, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Sabariah Atan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Amirul yang bekerja sebagai buruh dan berasal dari Tumpat, Kelantan didakwa melakukan perbuatan itu menerusi laman sosial berkenaan atas nama ‘Miyo Castello’ dengan niat menyakiti hati Tunku Ismail.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac dan April lalu dan dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Amirul dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia adalah daripada keluarga miskin dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana menyifatkan tindakan remaja itu satu kesalahan serius berbentuk penghinaan terhadap Tunku Mahkota Johor yang bakal menjadi Sultan Johor.

Sabariah kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman itu dijalankan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 24 April lalu.

Sejak dua minggu kebelakangan ini, beberapa individu telah didakwa di mahkamah kerana menyiarkan kenyataan biadap terhadap Tunku Ismail walaupun baginda meminta pihak polis agar tidak menahan para pengkritiknya.

"Saya dengan rendah diri mencadangkan kepada PDRM agar tidak menangkap mana-mana individu yang telah membuat sebarang kenyataan yang menghina terhadap saya.

"Berikan mereka peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu katakan kepada saya secara berhadapan, dan bersemuka antara mereka dan saya sahaja.

"Terus terang saya cakap yang saya tidak peduli apa sahaja orang mengatakan kerana saya amat bersyukur dengan apa yang Allah Taala berikan kepada saya", kata baginda di laman facebook Johor Southern Tigers, pada 29 Mei lalu.

Lihat Komen