malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahfodz: Rani dipilih Majlis Syura, pastikan menang
ADS

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mahfodz Mohamed hari ini menjelaskan, pemilihan calon bagi pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar dibuat mengikut prosedur dan diluluskan oleh majlis syura parti itu. 

Katanya, proses pemilihan calon itu bermula daripada cadangan diberikan PAS kawasan sebelum dibawa ke peringkat negeri dan Pusat. 

Sehubungan itu, kata Mahfodz, isu sensitif seperti itu sepatutnya tidak dibawa ke dalam perbahasan muktamar dewan ulama.

"Tak kira siapa (calonnya), ia sudah diputus jawatankuasa harian, maka wajiblah kita wala' dan menghormati arahan supaya calon dapat mencapai kemenangan. 

"Pada kali ini, bakal calon telah diputuskan majlis syura dan mengesahkan mereka (calon terbabit) sebenarnya layak bertanding," katanya dalam ucapan pergulungan sempena Muktamar Dewan Ulama ke-55 di Pasir Puteh, Kelantan. 

Mahfodz memberi penjelasan itu ekoran isu ditimbulkan perwakilan dari Selangor Nik Bakri Nik Mat yang mempersoalkan pemilihan Dr Abdul Rani Osman sebagai calon mewakili PAS pada pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar.

Malah, Nik Bakri Nik Mat turut berpendapat, pertandingan antara calon PAS yang akan bertembung calon Parti Amanah Negara (AMANAH) di Sungai Besar itu sebagai perlawanan "harum manis lawan harum manis".

Istilah "harum manis" merujuk kepada individu dalam PAS yang bersimpati atau cenderung kepada AMANAH kerana sifat buah itu yang berkulit hijau namun oren di dalam.

Abdul Rani yang juga ADUN Meru pernah berkhidmat sebagai pesuruhjaya PAS Selangor dan dilihat tidak mengkritik parti pembangkang lain.

Kata Mahfodz semua anggota dewan ulama perlu memastikan calon PAS mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil Sungai Besai dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

"Kita sebagai ulama, maka sama-sama kita bekerja keras bagi memastikan calon PAS di kedua-dua parlimen itu akan capai kemenangan, insya-Allah," katanya lagi. 

Lihat Komen