malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP cadang lebih banyak laluan basikal di KL
ADS

Laluan basikal di sekitar ibu kota terutamanya ke stesen pengangkutan awam perlu diperbanyakkan bagi menyemarakkan budaya berbasikal dalam kalangan warga kota. 
    
Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata langkah ini bertujuan menggalakkan penggunaan basikal sebagai mod pengangkutan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, selain usaha mengurangkan kadar pencemaran udara di ibu kota.
    
"Sekiranya laluan basikal ditambah, ia akan memudahkan warga kota berbasikal untuk ke stesen-stesen LRT dan bas malah, terus ke tempat kerja. 
    
"Ia turut mewujudkan gaya hidup sihat dalam kalangan mereka kerana berbasikal dapat mencergaskan fizikal dan minda seseorang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Kayuhan Ceria Setiawangsa dan Info Komuniti 1Malaysia' di Kuala Lumpur hari ini.
    
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Abd Halim Abd Samad. 
    
Ahmad Fauzi berkata acara Kayuhan Ceria Setiawangsa diadakan dua kali setahun pada hujung minggu bertujuan menggalakkan penduduk mengamalkan gaya hidup sihat di samping mengeratkan hubungan siraturahim sesama mereka.
    
"Seramai 250 penduduk Setiawangsa terlibat dalam acara ini...ada dalam kalangan mereka yang turut membawa ahli keluarga menyertai acara ini dan ia juga sebagai satu bentuk aktiviti beriadah bersama keluarga di hujung minggu," katanya.
    
Beliau berkata pihaknya akan turut mengadakan acara kayuhan ceria peringkat Parlimen Setiawangsa pada Ogos semperna sambutan Hari Kebangsaan.
    
"Pada sebelah pagi kami akan mengadakan kayuhan ceria Kemerdekaan dan seterusnya pada sebelah malam akan mengadakan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Parlimen Setiawangsa bersama penduduk," katanya.

-Bernama

Lihat Komen