malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hudud: Lagi pemimpin MCA mahu lepas jawatan menteri
Diterbitkan:  May 29, 2016 3:03 PM
Dikemaskini: 9:17 AM
ADS

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pimpinan parti itu bersedia melepaskan jawatan mereka sekiranya undang-undang hudud dilaksanakan di negara ini.

Wee yang juga menteri di jabatan perdana menteri berkata, beliau dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai telah sama-sama mengkaji kesan yang akan berlaku dan sepakat mahu melepaskan jawatan sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) hudud diluluskan.

“Kami mempunyai tugas dan kewajipan untuk menyatakan penentangan kuat kami untuk Rang Undang-Undang itu.

“Oleh itu, kami akan melepaskan jawatan menteri kami jika Rang Undang-Undang itu diluluskan di Dewan Rakyat. Ini bukan satu ancaman tetapi keputusan yang bertanggungjawab oleh pemimpin MCA,” katanya pada satu kenyataan media hari ini.

Wee berkata,  MCA percaya RUU itu hanya akan melemahkan struktur asas perlembagaan selepas sekian lama negara menikmati keamanan dan kestabilan di bawah pentadbiran sekular.

"MCA tidak akan pernah berkompromi dalam isu ini. Kami akan lakukan segala usaha untuk menentangnya di bawah kerangka dan semangat BN," tegasnya.

Sehubungan itu beliau turut menggesa anggota MCA kekal bersatu dan bekerja dengan komponen BN yang lain untuk mengekalkan semangat kesederhanaan dan menghormati pluralisme.

Semalam Liow dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong mengancam akan meletakkan jawatan dalam kabinet sekiranya RUU hudud diluluskan.

Ini selepas kerajaan, tanpa berunding dengan parti-parti komponen BN, menyokong pembentangan RUU persendirian yang dibacakan usulnya oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di parlimen baru-baru ini.

Wee menegaskan MCA menentang hudud kerana mahu mempertahankan sistem sekular dan pada masa sama mahu Malaysia menjadi negara Islam contoh kepada negara lain.

“Saya ingin menjelaskan bahawa penentangan kami terhadap Rang Undang-Undang ini tidak ada kena mengena dengan agama Islam. Kami menghormati Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan (tapi) jangan campurkan kedua-duanya bersama.

“Kami mahu mempertahankan sistem pentadbiran sekular Malaysia. Kami mahu Malaysia berjaya di jalan yang sederhana. Kami juga mahu Malaysia menjadi contoh kepada dunia Islam,” katanya.

 

Lihat Komen