malaysiakini logo
story-image
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak melihat PAS serius mahu melawan Umno dalam pilihan raya kecil Sungai Besar apabila menurunkan bekas pesuruhjayanya Dr Abdul Rani Osman.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata apabila PAS mencalonkan Abdul Rani parti tersebut dilihat mahu memfokuskan strategi mereka menarik pengundi Cina, terutama di kawasan Sekinchan, daripada menyokong calon Pakatan Harapan.

Langkah itu juga kata Khalid menunjukkan PAS lebih cenderung mahu menentang Pakatan Harapan berbanding BN.

Sekinchan yang terletak di bawah kawasan parlimen Sungai Besar kini dikuasai DAP - satu daripada tiga komponen gagasan pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan.

"Kalau PAS serius mahu melawan Umno (dan BN) mereka sepatutnya menurunkan tokoh yang popular di kalangan pengundi Melayu supaya dapat menarik undi masyarakat itu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Malam tadi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan ADUN Meru itu sebagai calon PAS untuk merebut kerusi parlimen Sungai Besar.

BN pula menurunkan ADUN Sungai Panjang Budiman Zohdi sebagai calon mereka.

Selain PAS dan Umno, AMANAH juga menyatakan keinginan mereka meletakkan calon dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Antara nama yang disebut-sebut bakal diturunkan bagi mewakili Pakatan Harapan ialah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

AMANAH dijangka mengumumkan calon mereka secara rasmi 1 Jun ini.

Kerusi parlimen Sungai Besar kosong berikutan kemalangan maut yang mengorbankan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Menurut Khalid hubungan baik beliau dengan Abdul Rani juga tidak akan menjejaskan strategi AMANAH dalam pilihan raya kecil nanti.

Katanya, AMANAH tidak akan menyerang Abdul Rani secara peribadi sebaliknya menumpukan perhatian kepada dasar dilaksanakan PAS.

"Abdul Rani orang yang baik dengan kami (AMANAH) tetapi hakikatnya dia duduk dalam parti PAS yang mempunyai sikap begitu sombong serta angkuh, tidak mesra dengan masyarakat khususnya masyarakat bukan Islam.

"(Kepada) orang yang tak setuju dengan mereka, PAS isytihar sebagai musuh, seperti DAP mereka isytihar sebagai musuh Islam.

"Ini bukan corak pendekatan yang kami setuju," katanya.

Lihat Komen