malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo berkata, beliau kini seorang lelaki yang sudah berubah, selepas pengalamannya di penjara.

"Saya amat gembira (hari ini). Saya telah berpindah dari fasa lalu dalam hidup saya dan saya banyak belajar.

"Episod ini banyak mengubah diri saya," katanya kepada pemberita selepas secara rasmi dibebaskan dari parol di Klang hari ini.

Beliau menandatangani dokumen tamat tempoh parol terakhir di Pejabat Parol Daerah Klang kira-kira pukul 9.40 pagi.

Khir, seorang doktor gigi sebelum menceburi bidang politik mengakui beliau banyak membaca di dalam penjara iaitu kira-kira 10 jam setiap hari.

Katanya, ini membantu mengubah cara dirinya berfikir.

"Saya boleh melihat dan memikirkan dengan gambaran lebih besar. Saya mempunyai enam bulan di dalam (penjara) untuk membaca dan berfikir," katanya.

Apa yang penting kepadanya sekarang, Khir berkata, adalah untuk belajar bagaimana untuk memaafkan mereka yang telah membuat kesilapan dan bagaimana untuk mengatasi kesilapan.

Ditanya mengenai sama ada terdapat perubahan dalam pemikiran politik, beliau sekadar berkata tunggu dan lihat.

Mengulas lanjut sama ada akan membantu jentera Umno/BN pada pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar, bulan depan, beliau berkata ia bergantung kepada keadaan.

“Kalau perlu saya lihat nanti, Sungai Besar adalah kawasan saya dan bahagian ini saya yang asaskan dulu dan terdapat keluarga saya di sini.

“Cuma saya harap kempen di Sungai Besar jangan sampai terlalu banyak perkara tak bagus, politik kebencian (hatred politic) adalah sesuatu yang tidak baik, jangan sampai tak undi orang kerana  benci dia, kita tak undi adalah kerana polisi dia.

“Ini masalah di Malaysia hari ini bila pilihanraya gaduh, kerana kita amalkan politik kebencian, ini tidak sihat bagi negara kita yang terdiri daripada pelbagai agama. Jadi saya harap nanti hentikan politik benci-menbenci,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen