malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Bekas MB mahu tubuh yayasan bantu banduan
ADS

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo hari ini dibebaskan daripada hukuman parol dan setelah menjalani hukuman penjara enam bulan atas kesalahan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah rumah besar di Shah Alam, sembilan tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas menandatangani dokumen tamat tempoh parol terakhir di Pejabat Parol Daerah Klang kira-kira pukul 9.40 pagi, beliau berkata beliau banyak belajar sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya belajar menginsafi semua orang ada buat kesilapan, yang penting bagaimana kita mengatasi kesilapan.

“Jadi kita masyarakat hari ini sepatut perlu melihat lebih positif kepada penjara dan bukan benda negatif,” katanya.

Dr Khir juga merayu kepada ahli keluarga banduan supaya tidak meminggirkan orang kesayangan mereka dan menasihatkan mereka supaya sentiasa membuat lawatan.

“Lawatlah mereka, saya cukup sedih apabila saya lihat ada banduan yang tidak dilawat sampai 10 tahun.

“Bila lawatan tak dibuat nak tukar baju pun tak ada, nak beli sabun pun susah. Jadi saya merayu jangan tinggalkan mereka, mereka perlukan bantuan dan sebagainya,” katanya.

Insaf dengan apa yang berlaku, beliau berkata dirinya bersama beberapa rakan bercadang menubuhkan sebuah yayasan bagi membantu banduan-banduan terbiar itu.

“Saya juga ada kawan-kawan yang bincang nak tubuh satu yayasan nak bantu mereka yang tak ada lawatan, kesian.

“Baju pun kadang-kadang penjara beri baju sepasang setahun,” katanya.

Dr Khir juga menafikan beliau diberi keutamaan sepanjang dipenjarakan itu dan berkata beliau berusaha berkelakuan baik agar berjaya mendapatkan parol.

“Saya di penjara ada 200 peraturan kecil penjara, angkat kaki tak boleh, nyanyi tak boleh.

“Saya tak pernah langgar satu peraturan, bukan peraturan besar, peraturan kecil pun, ada orang kata saya dapat keutamaan, itu tak betul, lihat rekod saya dahulu.

“Sepanjang enam bulan itu, mereka pantau saya setiap setengah jam dan membuat catatan. Jadi perkara ini (mendapat keutamaan) kalau ada pihak tertentu kata itu, ia tidak betul.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan berlaku dwi standard dalam pemberian parol kepada Dr Khir tetapi menafikan permohonan mantan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk  diletakkan di bawah tahanan rumah.

Dalam jawapan bertulis kepada Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru), Zahid berkata persepsi itu adalah tidak tepat sama sekali kedua-dua perkara itu badalah berbeza.

"Sepertimana kelayakajn dan pertimbangan yang diberikan untuk semua banduan, asas utama pertimbangan oleh  Lembaga Parol untuk seseorang menjalani parol adalah bergantung kepada jenis kesalahan, pencapaian pemulihan dan tempoh hukuman.

"Bagi Dr Khir Toyo, berdasarkan pencapaiannya dan rekod penjara, Lembaga Parol telah mendapati bahawa beliau telah berjaya mencapai tahap pemulihan yang baik, di samping memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk menjalani pemulihan secara parol," kata Zahid yang juga adalah Timbalan Perdana Menteri.

Dr Khir diberikan parol pada 29 Mac selepas menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Kajang. Baki hukumannya dijalankan di rumah keluarganya di Shah Alam, dan antara syarat yang ditetapkan adalah bahawa beliau tidak dibenarkan bercakap dengan pihak media.

Di bawah sistem parol, seseorang banduan akan menjalani baki hukuman di luar penjara dan dibenarkan tinggal bersama keluarganya serta di bawah pengawasan seorang pegawai parol.

 

Lihat Komen