malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ku Nan: Jelas sekarang, Mahathir mahu bunuh BN
ADS

Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau bercadang untuk menjatuhkan BN, gabungan yang diterajuinya selama dua dekad, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sebelum ini, katanya, Mahathir hanya menjadikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sahaja sebagai sasarannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bekas perdana menteri itu kini bukan sahaja berkongsi pentas dengan pembangkang tetapi berdasarkan kenyataannya mengenai pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan datang, mengesahkan beliau juga mahu menumbangkan BN.

"Beliau (Mahathir) berkata jangan undi BN dalam pilihan raya kecil...

"Ini adalah jelas bahawa beliau dengan parti pembangkang mahu membunuh parti kita," kata Tengku Adnan, yang sering dirujuk sebagai Ku Nan.

Mahathir ketika berucap dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 15 Mei lalu, meletakkan harapan besar agar pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 18 Jun depan.

Bekas presiden Umno itu mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja.

Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini.

"Bulan puasa ini kita akan berdepan dengan dua pilihan raya kecil, saya berharap kita semua akan mengalahkan BN dalam PRK kali ini.

"Jangan ambil kira siapa yang lawan BN, kita hendak satu parti sahaja yang lawan BN kerana kita tahu kalau kita letak dua tiga calon seperti yang berlaku di Sarawak, undi berpecah dan BN akan menang.

"Kalau kita hanya ada satu lawan satu kita boleh tentukan kekalahan BN dengan mengundi sebarapa banyak mungkin kepada calon yang melawan BN," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen