malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'MT Umno berhak usul pecat Muhyiddin, Mukhriz'
ADS

Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhak menyuarakan pandangan dan mengemukakan usul pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir daripada UMNO pada mesyuarat MT akan datang.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pandangan berkenaan juga selaras dengan rasa hormat pemimpin MT terhadap kepimpinan institusi UMNO yang menerima pelbagai tohmahan dan fitnah yang menjejas reputasi parti itu.

"Sebagai contoh, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempunyai hak dan pandangan beliau sebagai MT.

"Apa sahaja hasrat yang hendak dibawa beliau (Nazri) tidak ada siapa yang boleh menghalang.

"Sekiranya ada anggota MT lain yang turut ingin mengemukakan usul sama, maka kita akan lihat keputusannya pada mesyuarat MT akan datang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kebajikan Parlimen kawasan Masjid Tanah di Kampung Pulau di Alor Gajah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nazri semalam yang berhasrat untuk mengemukakan usul pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz daripada UMNO pada mesyuarat MT parti itu yang dijadualkan diadakan selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.

Terdahulu, beliau mengiring Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza untuk menyampaikan sumbangan makanan dan alat sokongan kesihatan kepada 60 anak yatim, warga emas dan golongan kurang berkemampuan di parlimen kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ketua UMNO bahagian Masjid Tanah berkata semua pihak terutama ahli UMNO diminta menghormati institusi UMNO di semua peringkat kepimpinan termasuk Presiden UMNO dan anggota MT.

"Walau apa jua kemelut yang melanda UMNO, ahli haruslah memberikan taat setia kepada parti dan kepimpinan parti," katanya.

-Bernama

Lihat Komen