malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Murid perlu ditanam rasa taat pada pemimpin, negara - Mahdzir
ADS

Selain menyampaikan ilmu, guru juga berperanan menanam perasaan kasih dan taat setia murid kepada pemimpin dan negara secara menyeluruh, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21 dan pembinaan negara bangsa, peranan guru menjadi lebih penting terutamanya dalam membentuk jati diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat.

"Secara tuntasnya, pembina negara bangsa berkait rapat dengan pendidikan yang menitikberatkan semangat patriotik, jati diri dan perasaan cinta yang mendalam terhadap tanah air.

"Menanam perasaan kasih dan taat murid kepada pemimpin dan negara merupakan contoh pimpinan yang sebenar kerana bimbingan sebegitu dapat menentukan anak-anak didik menjadi manusia yang berguna dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau menegaskan hal itu dalam ucapan pada majlis pra pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Datuk P. Kamalanathan.

Bertemakan "Guru Pembina Negara Bangsa" acara kemuncak sambutan tersebut dijadual berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 Mei depan.

Mahdzir berkata guru perlu memandang ke hadapan berlandaskan visi dan misi yang jelas demi keberhasilan generasi mendatang.

-Bernama

Lihat Komen