malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Indira bimbang bekas suami lari ke Thaiand
ADS

Guru tadika M Indira Ghandi membuat laporan polis kerana bimbang bekas suami yang memeluk Islam melarikan diri ke negara jiran, Thailand sebelum polis menahannya berikutan perintah Mahkamah Persekutuan semalam.

"Saya telah membuat laporan polis kerana bekas suami saya akan meninggalkan negara ini," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga berkata alamat terkini Mohd Ridhuan Abdullah di Kota Bharu, Kelantan menyebabkan bekas suaminya itu lebih mudah menyeberang sempadan ke negara jiran.

Dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh hari ini, Indira menyatakan beliau dan bekas suaminya kerap melawat Thailand ketika berkahwin.

"Dia mempunyai ramai kawan di sana dan kadang-kadang berada di sana untuk jangka masa yang lama," kata Indira dalam laporannya.

Oleh itu, beiau berharap pihak berkuasa imigresen akan menahan Ridhuan sekiranya melarikan diri ke Thailand.

Sementara itu, Indira, yang kali terakhir menghubungi Ridhuan pada 8 April, berkata bekas suaminya menggunakan nombor telefon bimbit yang sama sejak 2009.

Ridhuan dalam senarai polis

"Saya harap pihak polis boleh mengesan beliau menggunakan nombor itu," katanya.

Sementara itu, The Star Online hari ini melaporkan polis telah meletakkan Ridhuan dalam senarai dikehendaki dan cuba menentukan di mana dia berada.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau suspek sendiri boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Kamariah Jamaludin di 05-2451628 atau 016-5249091 atau SM Helen Parera 013-5189925 atau mana-mana balai polis di daerah ini," kata Ketua Polis Daerah Ipoh Sum Chang Keong dalam satu kenyataan.

Mahkamah Persekutuan semalam mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menangkap Ridhuan, selepas mengetahui perintah komital terhadapnya yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai berasas apabila beliau gagal membawa anaknya, Prasana Diksa kepada bidang kuasa mahkamah.

Prasana Diksa berusia 11 bulan apabila Ridhuan mengambilnya. Indira tidak melihat anaknya dalam tempoh lapan tahun sejak itu.

Dua anaknya yang lain kini berusia 18 dan 19 kini tinggal bersamanya.

Ridhuan mahu mengambil ketiga-tiganya dengan mendakwa beliau bimbang akidah mereka akan tergugat dengan mendakwa beliau telah menukarkan agama mereka kepada Islam.

Lihat Komen