malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wartawan lapor Deklarasi Rakyat dipanggil polis
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 6:00 PM
Dikemaskini: 10:14 AM
ADS

Seorang wartawan dari laman web berita The Heat Malaysia dipanggil polis berhubung siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 berkaitan Deklarasi Rakyat yang ditulis dan disiarkan dalam laman web itu.

"Kepada semua, adalah dimaklumkan wartawan Zakiah Koya telah dipanggil oleh pihak polis untuk siasatan di bawah Akta Hasutan berhubung satu artikel mengenai sidang akhbar Deklarasi Rakyat pada 4 Mac 2016," kata peguam Lawyers for Liberty (LFL) dalam satu mesej.

Menurut mesej itu, Zakiah akan disoal di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 2.30 petang esok.

Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai LFL Eric Paulsen dan Melissa Sasidaran.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Zakiah (foto) mengesahkan perkara itu, walaupun tidak mengulas lanjut.

Difahamkan bahawa beliau adalah salah seorang daripada individu yang sedang dicari polis dalam siasatan mereka terhadap Deklarasi Rakyat di bawah Akta Hasutan.

Ini adalah kali pertama dia dipanggil berhubung perkara itu.

Zakiah menjadi orang kedua dipanggil untuk siasatan selepas aktivis Azrul Mohd Khalib yang memulakan petisyen dalam talian untuk menyokong Deklarasi Rakyat.

Petisyen untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan itu dilancarkan bersama Deklarasi Rakyat oleh sekumpulan tokoh dari Umno, pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu.

Petisyen itu menuntut penyingkiran Najib sebagai perdana menteri dan pelaksanaan pembaharuan institusi.

Lihat Komen