malaysiakini logo
story-image
ADS

Sokongan rakyat Sarawak terhadap ketua menterinya, Tan Sri Adenan Satem terutama dari kaum bumiputera nampaknya tidak berbelah bahagi.

Perkara itu dapat dilihat dalam tinjauan Malaysiakini terhadap kaum bumiputera di Kuching dan Sibu apabila rata-rata berpuas hati dengan kepimpinan Adenan selaku ketua menteri.

Di Kuching mempunyai lapan peratus penduduk bumiputera- lima peratus bumiputera beragama Islam manakala tiga peratus lagi bukan beragama Islam.

Kuching mempunyai dua DUN iaitu Padungan dan Peding, masing-masing mempunyai tujuh peratus dan 10 peratus penduduk bumiputera.

Pada PRN yang lalu, kedua-dua DUN ini dimenangi oleh Pakatan Rakyat dengan Padungan menang dengan majoriti sebanyak 7,884 undi dan Pending 7,595 undi.

Manakala di Sibu pula mempunyai 35 peratus penduduk daripada kaum bumiputera, 20 peratus yang beragama Islam dan 15 peratus bukan beragama Islam.

Sibu mempunyai tiga DUN di bawahnya iaitu Bawang Assan (47 peratus bumiputera), Pelawan (sembilan peratus) dan Nangka (51 peratus).

Semasa pilihan raya lalu, Bawang Assan dan Nangka dimenangi oleh BN dengan majoriti sebanyak 1,808 dan 5,302 undi manakala Pelawan dimenangi oleh DAP dengan 6,391 undi.

Walaupun terdapat rungutan terhadap beberapa masalah setempat, namun mereka tetap akan memberi sokongan kepada BN.

Malah sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 kali ini juga, mereka turut bersetuju dengan saranan ketua menteri mereka agar memberi tumpuan terhadap isu-isu tempatan disambut baik.

Menurut Abby Adabi, 49, dari kampung Bandong beliau berpuas hati dengan pembangunan yang dibuat di kawasan itu terutamanya penambahbaikan tempat untuk berniaga.

Katanya, kawasan yang kini diberi nama Bandong Walk itu merupakan satu sumbangan yang bagus daripada kerajaan untuk peniaga di kawasan berkenaan.

"Saya berpuas hati dengan Tok Adenan dengan segala pembangunan yang dibuat. Pentadbiran dia OK. Memang berpuas hati dan berterima kasih pada dia, syukur sangat," kata Abby.

Bagi Hasanah Bujang, 47, beliau yang menjual hasil laut berkata, pemimpin di kawasannya di Santubong sering membantu rakyat miskin tegar.

Katanya, disebabkan itu juga, beliau memberi sokongan terhadap BN dan ketua menteri sedia ada kerana kerajaan juga sering memberi bantuan terutama bantuan persekolahan.

"Pemimpin ada bagi sumbangan, cuma datang atau tidak datang, kita tak tahu. Pemimpin sini selalu bantu miskin tegar..

"Sokongan saya macam biasa, pada BN lah sejak sekian lama, tetap akan terus mengundi BN. (Lagipun) kerajaan bagi banyak bantuan dekat anak-anak sekolah, ada biasiswa," katanya.

Bagi Salihin Yusop, 53, pula berkata, walaupun kepimpinan Adenan bagus, namun, beliau berharap agar masalah perparitan di kawasannya di Kampung Hilir tidak diabaikan.

Malah Salihin turut memuji kepimpinan Adenan yang dilihat berbeza dengan bekas ketua menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud dalam menangani isu pembalakan di negerinya itu.

"Tok Adenan bagus. Berbanding Taib, bagus lagi Tok Adenan. Kerana balak semua dia sekat. Kalau dulu susah kita nak nampak sekatan terhadap balak.

"Dari segi pembangunan bagus cuma kalau boleh nak minta kemajuan dari segi infrastruktur parit terutama di kawasan ini," katanya.

Seorang peniaga, Rosnah Abdullah, 40, turut berkongsi pendapat sama apabila beliau merasakan semua rakyat di negeri itu menyukai Adenan.

"Saya dah 30 tahun duduk di Sibu. Semua maju. Semua saya suka dia (Adenan) lagi-lagi lepas ada kemajuan. Bagi semua orang sekarang ini, Adenan adalah nombor satu," katanya.

Ditanya mengenai pembangkang di negeri berkenaan, Rosnah berkata beliau tidak suka dengan parti lawan itu kerana tidak dapat memberi kemajuan.

"Pembangkang tak dapat beri kemajuan ini semua. Orang tak suka," katanya.

Dayang Nor Aqilah Abang Mohamad, 26, pula memberitahu, beliau menyokong kerajaan dan bukan pembangkang kerana berpendapat, setiap perkara yang diminta rakyat kepada parti lawan itu tidak pernah diperolehi.

"Apa yang kita minta dekat pembangkang susah nak dapat. Saya pernah minta sesuatu tapi tak dapat. Kalau kerajaan, senang sikit nak minta," ujarnya.

Bagaimanapun, terdapat juga pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri namun tetap bersyukur kerana diberi bantuan kos sara hidup.

Bagi seorang nelayan dari Kampung Buntal, walaupun mendapat peruntukan sara hidup dan subsidi minyak, namun beliau berharap agar janji yang pernah disampaikan oleh wakil rakyat mereka ditepati terutamanya untuk membina benteng di kampung berkenaan.

"Pemimpin ni kalau dah dapat apa yang dia mahu, dia akan hilang. Dia janji macam-macam tapi sampai sekarang belum nampak lagi.

"(Tapi) Alhamdulillah, dia janjikan peruntukan sara hidup, subsidi minyak. Cuma yang belum diberikan ialah benteng ini. Janji nak buat benteng dan taman rekreasi tapi tak ada langsung," kata Ladi Mahidi, 60, sambil menunjukkan benteng yang telah roboh sejak tahun lalu.

'Sebelum ini mereka janji nak bagi bot, tapi yang diberikan adalah bot kecil bukan besar yang tidak boleh untuk ke laut. (Bot) itu cuma sesuai untuk ke sungai, tapi buaya yang menunggu kami. Kita rasa kecewa," katanya lagi.

Lihat Komen