malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lupakan gabungan dengan PKR, kata Zaid pada DAP
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 1:00 PM
Dikemaskini: 5:35 AM
ADS

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim merancang mengundang pemimpin supremo DAP, Lim Kit Siang ke majlis makan malam menjelang pilihan raya Sarawak 7 Mei ini.

Dalam acara itu yang digambarkan mewah itu, beliau berhasrat menyatakan kepada DAP agar tidak lagi perlu bersama dalam gabungan dengan PKR.

“Dalam majlis makan malam itu saya akan cadangkan ini: Lupakan kerjasama pilihan raya bersama-sama.

“Ia tidak berkesan dalam pilihan raya umum ke-13 dan tidak berjaya dalam pilihan raya Sarawak.

"Harapan terbaik untuk pakatan pembangkang yang boleh dipercayai adalah antara DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH),” katanya.

DAP dan PKR kini bertembung di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas gagal menyelesaikan pengagihan kerusi.

Zaid yang pernah berjuang bersama PKR selepas meninggalkan Umno berkata beliau sedih melihat Lim perlu memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana kengganan PKR mematuhi perjanjian.

"Pembangkang sentiasa ada puak-puaknya tetapi untuk menunjukkan hasrat untuk berpecah seperti yang ditunjukkan pada pilihan raya Sarawak ini tidak boleh dimaafkan," katanya.

Mengulas lanjut cadangannya, Zaid berkata pakatan DAP-AMANAH juga boleh mempunyai susunan longgar dengan PKR, sama seperti Asean + 2, bagi maksud menganjurkan ceramah bersama dan persetujuan untuk bidang utama pembaharuan.

"Mempunyai hadirin ramai akan meningkatkan semangat pembangkang dan penyokong mereka tetapi mempunyai pakatan pilihan raya di mana agihan kerusi dipersetujui terlebih dahulu antara DAP-AMANAH dan PKR akan menjadi pembaziran masa dan boleh membawa kepada pertelingkahan lebih teruk serta menggembirakan BN," katanya.

PKR, kata Zaid mengandaikan bahawa pemimpinnya akan dilantik menjadi perdana menteri selepas kejatuhan Umno.

"Ada yang percaya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri. Jika itu berlaku, (naib presiden) Nurul Izzah dan Rafizi Ramli dan (bekas Setiausaha Agung) Saifuddin Nasution Ismail akan mempunyai jawatan penting penting.

"Sebaliknya, kita ada (Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Mohd Azmin Ali dan rakan-rakan yang percaya bahawa PKR hari ini tidak sama dengan PKR pada tahun 2004 dan bahawa parti itu di bawah kawalan mereka, maka mereka mahu membuat keputusan penting yang diputuskan sendiri.

"PKR di bawah Azmin akan menjadi fleksibel dan tidak mustahil bahawa PKR + PAS atau PKR + pemberontak Umno akan disajikan untuk pertimbangan pengundi," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen