malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
NGO tak puas hati penjelasan IGP insiden pecah patung kuil
ADS

Satu gabungan NGO India Malaysia melahirkan rasa kecewa dengan penjelasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa lelaki yang bertanggungjawab menceroboh dan memecahkan patung di sebuah kuil di Ipoh petang Ahad lalu adalah kurang siuman.

"Kami kecewa dengan Ketua Polis Negara. Saya tidak tahu sejak bila Ketua Polis Negara menjadi doktor - seorang pakar yang boleh mengisytiharkan bahawa seseorang itu sakit atau sebaliknya,” kata Presiden Pertubuhan Rapat Malaysia, A Rajaretinam pada sidang akhbar di Kuala Lumpur malam semalam.

Mengenai suspek berusia 29 tahun yang telah pun dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Rajaretinam berkata jika lelaki itu benar-benar kurang siuman, dia sepatutnya dirawat di hospital mental senelum ini.

"Saya rasa sangat kasihan terhadap orang muda itu, tetapi dia sudah sesat dan bukannya bersendirian. Ramai orang seperti itu, dia adalah sebahagian kecil daripada bilangan itu," katanya.

Rajaretinam juga menuntut bukti bahawa suspek itu benar-benar tidak waras.

"Bagi orang yang kurang siuman, dia mampu memandu kereta dan membawa bersama-sama dengannya bendera menyerupai (kumpulan pengganas) IS.

"Jika dia benar-benar tidak waras, tidak mengapa, saya maafkannya. Tetapi jika sebaliknya dan kita cuba untuk sembunyikan sesuatu, tidak ini sesuatu yang berbahaya," katanya.

Suspek dilaporkan mengamuk dengan memecah masuk ke dalam kuil berkenaan sebelum memusnahkan beberapa patung.

Khalid pada Isnin lalumenggesa penganut Hindu supaya bertenang dan menjelaskan bahawa suspek adalah pesakit mental yang tidak stabil. Walau bagaimanapun, beberapa kumpulan meragui sama ada suspek adalah benar-benar kurang siuman.

Mengulas lanjut, Rajaretinam mengeluh kerana kurangnya kefahaman agama di kalangan pelbagai kaum dan agama di negara ini.

"Awak faham tentang makanan sayuran atau vegetarian (untuk penganut Hindu)? Saya faham (konsep Islam) halal.

"Saya sedia untuk belajar tentang kamu tetapi kamu pula tidak mahu mengenali saya langsung,” keluhnya dengan kesal.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen