malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas isteri Bekir ikrar derma sebahagian mutaah RM30 juta
ADS

Shahnaz A Majid, bekas isteri Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, berikrar akan menyumbangkan sebahagian daripada wang RM30 juta berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini yang memutuskan beliau berhak menerima tuntutan mutaah.

Katanya, walaupun menuntut bayaran nafkah sebanyak RM100 juta daripada bekas suaminya itu, namun dirinya bersyukur dengan jumlah yang diberikan.

Shahnaz berkata penghakiman hari ini bukan semata-mata mengenai tuntutannya tetapi mengenai haknya sebagai bekas isteri dan juga untuk memastikan bekas suaminya tidak akan dihukum pada akhirat nanti kerana tidak menyelesaikan hal berkenaan.

"Saya berjanji untuk menderma sebahagian daripada jumlah mutaah itu kepada pertubuhan ibu tunggal dan anak yatim.

"Selepas ditolak kos guaman dan perbelanjaan lain, saya akan menderma satu pertiga daripada wang itu kepada pertubuhan seumpama itu kerana saya tahu bagaimana rasanya menjadi ibu tunggal," katanya.

Shahnaz, kakak kepada ratu jazz Sheila Majid, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Ijazah Sarjana Kewangan dari Amerika Syarikat.

Katanya, beliau akan meneruskan tuntutan sebanyak RM500 juta dalam satu lagi saman harta sepencarian bersama.

Shahnaz mengucapkan terima kasih kepada peguam, hakim dan media yang bersamanya dan mengiktiraf hakikat bahawa dirinya telah digantung tidak bertali selama 10 tahun sebelum perceraian mereka.

Sementara itu, peguam Bekir, Zainul Rijal Abu Bakar dan Saadiah Din, berkata mereka akan memfailkan rayuan dan penagguhan keputusan hari ini, esok.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen