malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu ahli majlis sengaja diperbesar, kata SU Azmin
ADS

Dakwaan sekumpulan pemimpin cabang PKR bahawa Datuk Seri Azmin Ali tidak mengikut garis panduan bagi pemilihan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disifatkan tidak berasas.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata ini kerana semua lantikan ahli majlis telah selesai dan tiada isu melainkan ia sengaja diperbesarkan pihak tertentu.

“Tuduhan tak berasas. Semua pelantikan ahli majlis telah selesai dan mereka dilantik pada 16 Januari lepas.

“Ada 15 lagi yang masih belum di beri watikah kerana urusan pentadbiran seperti pertukaran nama calon baru oleh parti, pertukaran alamat dan insolvensi. Tiada isu pun melainkan ia sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini sekumpulan pimpinan cabang PKR Selangor mendakwa Azmin tidak mengikut garis panduan dalam melantik ahli majlis .

Setiausaha PKR cabang Kelana Jaya Murali Subramaniam mendakwa, Fasal 4 Pekeliling Setiausaha Kerajaan Selangor menyatakan bahawa ahli majlis mestilah bermastautin di kawasan mereka berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun.

Murali bagaimanapun mendedahkan seorang ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dilantik walaupun namanya tidak dicadangkan oleh Cabang Kelana Jaya dan bermastautin di SS 2, Petaling Jaya.

Dakwanya, garis panduan PKR turut menyatakan cabang sepatutnya menamakan calon mereka kepada pimpinan negeri sebelum disahkan oleh pimpinan pusat, namun ia tidak berlaku.

Selain itu, bekas ketua Pemuda PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin mendakwa Azmin membelakangkan cadangan ahli majlis daripada cabang tertentu kerana sifat dendam akibat tidak mendapat sokongan mereka.

Lihat Komen