malaysiakini logo
story-image
ADS

Tiga lagu yang didendangkan Ketua Menteri Tan Sri Dr Adenan Satem meraih sumbangan hampir RM1.4 juta di Sibu malam tadi.

Sambil diiringi band D'Cipta dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak, beliau mengalunkan lagu malar segar Can't Help Falling in Love nyanyian asal Elvis Presley, The Young Ones dan Travelling Light (Cliff Richard) dan Putus Sudah Kasih Sayang (P Ramlee).

Nyanyian beliau berjaya meraih sumbangan lebih daripada 20 orang penderma daripada pihak swasta, badan bukan kerajaan, individu perseorangan serta tetamu yang menghadiri majlis perhimpunan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Cina Bersatu (UCA).

Sumbangan itu akan digunakan untuk membantu pesakit buah pinggang dan diabetes.

Terdahulu dalam ucapannya, Adenan, 72, berkata beliau memerlukan masa lima tahun lagi untuk menerajui Sarawak sebelum bersara.

"Faktor umur dan kesihatan tidak membenarkan saya untuk menerajui lebih daripada tempoh itu," kata Adenan.

Namun sebelum bersara, beliau mahu rakyat memberinya mandat penuh untuk lima tahun lagi selaku ketua menteri untuk membolehkan beliau meneruskan tugas kepada rakyat dan negeri.

Beliau berkata dalam tempoh dua tahun selepas menjadi ketua menteri mulai 28 Februari tahun lalu, beliau telah melaksana 50 polisi kepada negeri dan akan melakukan lebih banyak lagi jika diberi peluang.

Adenan berkata kekayaan sebenar yang Sarawak miliki ialah perpaduan dan kepelbagaian di mana rakyatnya hidup bersama dan menghormati antara satu sama lain.

Turut hadir pada majlis itu isteri beliau Puan Sri Jamilah Anu, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi, Konsul Republik Rakyat Cina di Kuching, Fu Ji Jun serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh.

- Bernama

Lihat Komen