malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bashah turun padang perjelas perubahan Umno Kedah
Diterbitkan:  Feb 12, 2016 7:10 AM
Dikemaskini: Feb 12, 2016 1:08 PM
ADS

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang baru Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau akan turun ke akar umbi bagi memberi penjelasan tentang perubahan dalam kepimpinan parti di negeri ini.

Ahmad Bashah yang juga menteri besar Kedah berkata beliau bersama timbalannya Datuk Seri Mahdzir Khalid akan turun padang bersama-sama untuk bertemu dengan pemimpin dan anggota Umno untuk memberi penjelasan terperinci dalam usaha memulihkan kembali kepercayaan mereka terhadap parti.

Beliau berkata perubahan yang berlaku itu merupakan kehendak daripada 14 Ketua Umno bahagian dan sayap parti itu yang mahukan perubahan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kami akan turun bagi memberi penjelasan kenapa perlunya perubahan terhadap kepimpinan dalam Umno ini. Kita tahu bila perubahan yang dibuat baru-baru ini menyebabkan ramai dalam kalangan ahli terutamanya Pemuda Umno marah.

"Mungkin proses ini akan mengambil masa lebih sebulan untuk menyelesaikan masalah ini dan saya difahamkan ada beberapa ketua Umno bahagian telah mengambil pendekatan dengan menjelaskan isu tersebut kepada ahlinya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Aman di Alor Setar semalam.

Ahmad Bashah berkata beliau akan mengadakan mesyuarat bersama ketua-ketua Umno bahagian dalam masa terdekat bagi membincang dan mengatur jadual bertemu anggota parti di peringkat akar umbi.

"Saya difahamkan ramai ahli Umno di bahagian itu... telah faham dan menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan UMNO dengan baik," katanya.

Sementara itu, beliau yakin gandingannya dengan Mahdzir dilihat mampu membawa perubahan dalam Umno negeri berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini yang pernah memegang jawatan tertinggi parti itu.

"Ketika Mahdzir menjadi pengerusi Perhubungan Umno Kedah, saya memegang jawatan Setiausaha. Ini kepercayaan oleh Presiden parti (Datuk Seri Najib Abdul Razak) yang mahu memastikan jentera Umno dan BN negeri lebih bersedia menghadapi PRU," katanya.

Mengenai senarai Exco kerajaan negeri, Ahmad Bashah berkata beliau sedang menunggu tarikh yang diberikan oleh Pejabat Tuanku Sultan Kedah untuk menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk mempersembahkan senarai exco yang dicadangkan itu.

"Bila-bila masa pihak Istana beri tarikh saya akan menghadap. Kalau angkat sumpah dah selesai kita akan adakan mesyuarat (Exco) secepat mungkin," katanya.

- Bernama

Lihat Komen