malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Haron Din bincang kepentingan Islam dengan TPM
Diterbitkan:  Feb 11, 2016 5:00 PM
Dikemaskini: 9:10 AM
ADS

Murysidul Am PAS Datuk Haron Din antara yang hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Perundingan Islam (MPI) dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan bekas pemimpin kanan PAS yang kini memimpin Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) Nasharuddin Md Isa.

Pertemuan itu diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook beliau hari ini.

Asyraf Wajdi berkata pertemuan pemimpin-pemimpin politik, NGO Islam, ulama dan cendekiawan Islam itu bertujuan membincangkan perkara-perkara melibatkan kepentingan umat Islam.

Beliau tidak mendedahkan perbincangan lanjut pertemuan itu.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan Zahid sebagai menyentuh isu “dakwah Internet” dan penularan ajaran sesat serta ideologi barat seperti liberalisme.

Pembunuhan karakter

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, ledakan media baharu dikenal pasti antara punca berlakunya pelbagai krisis dalam masyarakat.

"Kita dapati sebahagian isu-isu bersifat terpencil sering kali diperbesarkan untuk memburukkan imej Islam dan melakukan 'pembunuhan karakter' terhadap institusi agama, ketua jabatan agama, para mufti dan juga ilmuwan Islam," katanya.

Beliau juga dilapor membangkitkan penularan “ajaran sesat seperti Syiah dan Qadiani” yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurut Bernama , MPI dianggotai tokoh pelbagai latar belakang meliputi ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin NGO.

Ia berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi membantu kerajaan dalam memberikan idea dan cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak.

PAS sebelum ini menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan Islam, termasuk Umno.

MENCARI TITIK PERSAMAAN DAN MENYANTUNI PERBEZAAN Pagi ni bersama Menteri dan YAB TPM yang mempengerusikan Majlis...

Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on Wednesday, 10 February 2016

Lihat Komen