malaysiakini logo
story-image
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak akan membuang masa menyiasat dakwaan ahli parti itu menyertai PAS semula.

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berkata mengikut maklumat yang ada padanya, parti itu yakin ramai di kalangan individu yang ingin menyertai AMANAH adalah ahli PAS.

"Sebab itu ada istilah harum manis dan itu yang perlu dilihat setiausaha agung (PAS)," katanya di sidang media di Wisma AMANAH di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa beliau mempunyai bukti ada anggota AMANAH kini mengubah haluan menyokong perjuangan PAS.

Justeru Takiyuddin ( gambar, tengah ) meminta kepimpinan AMANAH untuk menyiasat sendiri perkara itu kerana beliau tidak akan mendedahkan nama-nama individu yang terlibat.

"Saya sebut (ada anggota AMANAH sertai PAS semula) itu sebab saya ada fakta. Mereka datang jumpa saya baru-baru ini. Ada beberapa orang. Kami berbincang dan berbual. Mereka telah salah faham dengan perjuangan AMANAH," katanya.

Salahuddin yang pernah dipilih menjadi Naib Presiden PAS sebelum disingkirkan kumpulan konservatif tahun lalu berkata pihaknya tidak akan membuang masa melayan dakwaan seperti dibuat Takiyuddin itu.

"Mereka (PAS) ini sekarang dalam proses untuk membuat peraturan-peraturan, mengeluarkan surat-surat amaran termasuk tidak boleh pergi ceramah AMANAH dan mungkin minum kopi dengan kami juga akan diambil tindakan.

"Jadi itu sebenarnya gambaran yang berlaku," katanya.

Sementara itu Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata sebagai parti yang mengamalkan demokrasi parti itu menghormati pilihan setiap individu dan berharap PAS turut mengambil pendekatan begitu.

"Tak perlu nak ikat dengan tuduhan-tuduhan khianat, langgar baiah . Biar mereka pilih atas keyakinan masing-masing.

"Jika ada orang AMANAH nak kembali kepada PAS silakan. Buat apa yang kamu yakin adalah yang terbaik.

"Kalau ada orang PAS nak masuk AMANAH kita harap PAS mempunyai bersikap terbuka dan menerima kita semua ini sebagai bersaudara memperjuangkan dasar Islam untuk kebaikan negara dan umat.

"Tak kafir kalau AMANAH masuk PAS, tak munafik kalau PAS masuk AMANAH," katanya.

Lihat Komen