malaysiakini logo
story-image
ADS

"Betul ke? Bila? Hari ini ke? Jadi apa?," itu reaksi Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid ketika diajukan soalan berhubung perlantikan beliau sebagai timbalan pengerusi perhubungan Umno Kedah hari ini.

Tujuh hari selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru untuk Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini diumum dilantik pula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata jawatan Ahmad Bashah sebagai timbalan sebelum ini diisi Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Menteri Pendidikan.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut Mahdzir berterima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak atas lantikan tersebut dan menganggap ia satu tugas berat kepada beliau.

"Satu lagi tanggungjawab berat yang saya perlu ambil dari presiden parti atas lantikan ini. Betul ya?," soal Mahdzir seolah-olah tidak percaya dirinya diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan tersebut kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Malah, Mahdzir juga berkata beliau akan membantu Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Namun, apa yang lebih penting sekarang adalah untuk mengadakan program bagi mengembalikan keyakinan rakyat di negeri itu.

"Saya akan bantu MB Kedah (Ahmad Bashah) sebagai pengerusi Umno Kedah dari masa ke semasa.

"Apa yang penting sekarang adalah bagaimana Umno mahu adakan program bagi meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat pada kerajaan," kata Mahdzir.

Perlembagaan Umno membenarkan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi perhubungan dilantik oleh presiden parti mengikut Fasal 9.8.1 dan 12.5.

Mukhriz yang juga anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya disingkirkan daripada jawatan menteri besar selepas sebahagian pemimpin Umno Kedah menyatakan rasa tidak percaya terhadapnya.

Walaupun cuba untuk bertahan Mukhriz - yang sebelum ini agak lantang terhadap kepimpinan atasan Umno - akhirnya meletak jawatan.

Lihat Komen