malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wanita itu tidak hamil, kata Sirul
Diterbitkan:  Jan 24, 2016 12:00 PM
Dikemaskini: 4:09 AM
ADS

Dalam video kedua didakwa bekas komando polis Sirul Azhar Umar, pesalah tuduhan membunuh itu menafikan laporan media bahawa seorang "wanita" tidak dinamakan sedang hamil.

"Sesetengah media pernah menyebut, dan juga terdapatnya di dalam media-media semasa, dan juga media-media internet, yang memuatkan masuk berkenaaan fakta-fakta yang tidak tepat.

"Yang dilaporkan tidak sama sekali benar, yang dilaporkan adalah palsu, termasuklah bahawa dan juga kononnya, wanita tersebut telah mengandung, dan mempunyai kandungan pada ketika itu," katanya.

Sirul sebelum ini disabitkan Mahkamah Persekutuan atas kesalahan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dia melarikan diri dari Malaysia ke Australia dan kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood, Sydney, atas kesalahan imigresen.

Sirul sedang cuba mendapatkan "visa perlindungan" yang membolehkan dia hidup bebas di Australia.

Walaupun Sirul tidak menyatakan identiti wanita dalam klip video itu, kemungkinan besar dia merujuk kepada Altantuyaa.

Selain Sirul, seorang lagi tertuduh yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuyaa ialah bekas anggota polis Azilah Hadri.

Azilah kini ditahan dipenjara dan sedang menunggu keputusan terhadap rayuan hukumannya.

Klip video kedua Sirul - sepanjang 2.12 minit - diperoleh Malaysiakini daripada sumber yang enggan dikenali, sama seperti klip video pertama.

Ia memaparkan Sirul berpakaian sama seperti klip pertama.

"Nampak di sini provokasi dan juga spekulasi yang telah dimainkan oleh media dan juga media Internet ini, telah menampakkan bahawa, kes saya itu begitu kejam dan teruk.

"Nampak kelihatan di sini, seolah-oleh dipermainkan sebegitu rupa, untuk mengaitkannya, dengan si polan, si polan, si polan.

"Bahawa kandungan itu, milik si polan, si polan si polan.

"Ianya adalah fitnah semata-mata. Saya menafikan sekeras-kerasnya akan kenyataan dan juga akan laporan yang telah dibuat di dalam Internet dan media-media, yang mana mengatakan wanita itu mempunyai kandungan, ianya adalah tidak benar," katanya.

Seperti sebelum ini, Sirul tidak mendedahkan siapakah pihak yang dirujuknya itu, termasuk "media" dan pihak tertentu dalam rakaman berkenaan.

Bagaimanapun kenyataan itu jelas mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam klip video pertama sepanjang 2.51 minit, Sirul mengulangi dakwaan peguamnya sebelum ini bahawa ada pihak tertentu cuba menggunakannya untuk menjatuhkan dan memfitnah seorang individu tidak dinamakan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen