malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahfuz: Bukan saya beri tawaran untuk Sirul cakap sesuatu
ADS

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menafikan bahawa beliau adalah pihak yang dituduh memberi tawaran kepada bekas koperal dalam Unit Tindakan Khas (UTK) Polis, Sirul Azhar Umar untuk bercakap mengenai sesuatu supaya ada pihak atau individu mendapat manfaat politik.

Menurut pemimpin PAS itu, beliau juga sudah lama tidak berhubungan dengan Sirul dan mempersoalkan kenyataan peguam Kamarul Hisham Kamaruddin bahawa mereka yang mendakwa bercakap bagi pihak anak guamnya tidak boleh dipercayai, termasuk ibunya, Piah Samat.

“Saya sudah lama tidak berhubung dengan Sirul, tapi kalau dia nak bercakap, itu hak dia asalkan bersihkan nama dia, nama keluarga dia.

“Saya tidak rasa Kamarul tuju pada saya (mengenai tawaran kepada Sirul), yang pentingnya sekarang saya nak Kamarul buka mulut dan beritahu mengapa dia nak jadi peguam kepada Sirul,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Tahun lalu, Mahfuz telah membawa Piah ke Australia bagi melihat keadaan Sirul yang ditempatkan di Pusat tahanan imigresen di Villawood, dekat Sydney.

Turut serta dalam pertemuan itu bekas bendahari PAS Asmuni Awi yang bertindak selaku peguam kepada Mahfuz.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, sebagai peguam sudah tentu Kamarul mahu kes anak guamnya selesai dengan memihak kepada Sirul namun apa yang terjadi sekarang kelihatan sebaliknya.

Kamarul sebelum ini menafikan bahawa anak guamnya memberitahu media di Australia bahawa dia diberi arahan untuk membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan ibunya berkata kepada Sydney Morning Herald bahawa "Sirul tidak melakukan pembunuhan itu sendiri."

“Yang saya tanya sekarang, dia cakap Sirul tidak pernah buat pengakuan, isunya dia jadi peguam Sirul untuk apa?

“Untuk nak kata Sirul yang bunuh? Itu persoalannya, dia mesti buat kenyataan,” kata Mahfuz.

Mahkamah Persekutuan pada Januari 2006 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengenakan hukuman gantung terhadap dua anggota UTK, termasuk Sirul susulan sabitan dengan pembunuhan Altantuya.

Sirul Azhar tidak hadir diri ke mahkamah menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya dan dilaporkan berada di Australia sejak Oktober tahun lalu.

Lihat Komen