malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sidang minggu akhir Parlimen jadi tumpuan
ADS

Sepanjang 21 hari lepas dalam sesi Parlimen terakhir bagi tahun 2015, aksi seperti plakad "Di mana RM2.6 bilion" dan jenaka 'cari makan' oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Datuk Hasan Ariffin, telah mewarnai liputan media bagi sidang Dewan Rakyat.

Rakyat Malaysia juga dengan penuh minat mengikuti pusingan pertama pengundian bagi belanjawan negara, di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak terselamat daripada cubaan memberi isyarat tidak percaya terhadapnya dengan pengundian menolak Bajet 2016.

Dengan hanya tinggal satu minggu lagi untuk sidang Parlimen bagi tahun ini, empat perkara penting tersenarai menunggu empat hari lagi sidang Parlimen, mulai hari ini.

Empat perkara penting itu ialah bacaan kali ketiga dan pengundian akhir Bajet 2016, jawapan kepada isu "derma politik" RM2.6 bilion, Nurul Izzah dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parllimen dan pembentangan laporan persempanan semula kerusi DUN Sarawak.

Pengundian akhir - bacaan ketiga Bajet

Najib terselamat dalam pusingan pertama pengundian di peringkat dasar, dengan majoriti 54 undi. Beliau mendapat 128 'menyokong', berbanding 74 'menolak' dari pembangkang.

Pembangkang masih mempunyai peluang terakhir pada 1 Disember ini, dengan bacaan ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan itu.

Soalan mengenai RM2.6 bilion

Skandal yang melibatkan RM2.6 bilion "derma politik" dalam akaun bank Najib telah menjadi tajuk berterusan sepanjang sidang Dewan - dari mengangkat plakad hingga ke sesi soal jawab.

Tetapi kerajaan berkata ia akan menjawab semua pertanyaan mengenainya pada 3 Disember - hari terakhir sidang Dewan.

Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman (gambar) berkata, isu itu akan dijawab melalui sesi soal jawab.

Bagaimanapun, sesi soal jawab hanya membolehkan maksimum dua soalan tambahan.

Mengikut konvensyen, pembangkang akan mempunyai peluang pertama bertanya soalan tambahan, diikuti penyokong kerajaan, selepas jawapan menteri.

Memandang Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sangat ketat dalam membenarkan soalan tambahan, biasanya selepas dua soalan, maka ahli Parlimen perlu memanfaat sepenuhnya peluang untuk bertanya.

Azalina juga enggan mengesahkan sama ada Najib sendiri yang akan menjawab soalan. Ini juga bermakna isu panas itu mungkin dijawab oleh Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga menteri dalam negeri.

Nurul Izzah mengadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menjadi sasaran dengan label 'pengkhianatan' selepas Puteri Sulu Jacel Kiram memuat naik gambar mereka bersama.

Pemimpin BN mendakwa naib presiden PKR itu "tidak sensitif" apabila mengadakan pertemuan dengan anak perempuan dalang pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

Walaupun Nurul membuat permohonan maaf secara terbuka, Azalina membentangkan usul untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Nurul dilarang masuk ke Sabah selepas usul mengenainya diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN), dan beliau kini mungkin berdepan dengan kesan lain, termasuk penggantungan menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Laporan persempadanan semula Sarawak

Dengan pilihan raya negeri Sarawak semakin hampir, Najib akan membentangkan laporan persempadanan semula kerusi DUN negeri itu, seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

Laporan itu akan mewujudkan tambahan 11 kerusi, menjadikan jumlahnya meningkat daripada 71 kepada 82 kerusi.

Bagaimanapun, pihak pembangkang telah membantah persempadanan semula itu kerana kebanyakan kerusi tambahan itu adalah dari kubu kuat BN.

Mereka berhujah bahawa langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu hanya akan mengukuhkan pemerintahan BN di negeri itu.

PKR telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah terhadap persempadanan semula, tetapi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa ianya sah.

Walaupun perbahasan bajet dan pengundian dijangka selesai pada 1 Disember, namun Dewan mempunyai hanya dua hari untuk membahaskan timbulan usul dan rang undang-undang dalam kertas perintah tetap.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen