malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Exco: Titah Sultan Johor larang jual vape akan dibincang
Diterbitkan:  Nov 29, 2015 6:49 PM
Dikemaskini: 10:51 AM
ADS

Kerajaan negeri akan membincangkan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu larangan penjualan vape di negeri ini dikuat kuasa awal Januari depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata ia akan dibincang pada mesyuarat majlis kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Pihaknya bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Bahagian Farmasi akan turut mengadakan perbincangan mengenai perkara itu sebelum dikemukakan pada mesyuarat terbabit, katanya.

"Kita akan panggil agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan dan Bahagian Farmasi untuk meneliti prosedur dan peraturan yang sewajarnya dalam menguatkuasakan titah Sultan Johor," katanya kepada pemberita di Nusajaya hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Ibrahim yang mahu produk vape dilarang dijual dan semua premis vape ditutup berkuat kuasa 1 Januari 2016, seperti yang dilaporkan.

Ayub berkata pihaknya menjunjung kasih terhadap titah Sultan Ibrahim yang dilihat selari dengan pendirian kerajaan negeri yang melihat penggunaan vape adalah memudaratkan rakyat terutama golongan muda.

Beliau berkata beliau sendiri secara konsisten menyuarakan pandangan bahawa vape boleh disalah guna oleh pengguna dan dilihat mampu menjurus terhadap penyalahgunaan dadah.

"Dalam dua atau tiga tahun mendatang, kalau vape tidak dihalang, maka kita akan lihat keruntuhan akhlak dan juga masalah sosial generasi muda," katanya.

Ayub berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor tidak mempunyai sebarang kuasa ke atas penutupan premis penjualan vape, namun Bahagian Farmasi boleh merampas barangan terbabit di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 sekiranya mengandungi bahan terlarang yang tidak didaftar.

Berdasarkan pemantauan sebelum ini, pihaknya mengesan enam premis perniagaan vape yang melanggar akta berkenaan di sekitar bandar raya Johor Baharu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Latif Bandi berkata pihaknya akan mengeluarkan pekeliling baru bagi mengharamkan penjualan vape menerusi Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata menerusi pekeliling itu, PBT akan memulakan tindakan penguatkuasaan dan pengharaman penjualan ke atas vape bermula pada 1 Januari depan.

"Perbincangan berhubung perkara itu (pekeliling) bersama pelbagai pihak terlibat akan dilakukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Johor sebelum keputusan yang dicapai itu dikuatkuasakan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen