malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis siasat anak dan isteri, Azmin kata Umno terdesak
ADS

Polis hari merakamkan kenyataan daripada anak dan isteri Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berhubung dakwaan pembabitannya dalam perhimpunan BERSIH pada Ogos lalu.

Azmin dan anak lelakinya yang berusia 15 tahun bersama isterinya, Shamsidar Tahrin tiba di IPD Dang Wangi sekitar jam 3.00 petang.

Mereka juga turut ditemani oleh lebih 50 penyokong.

Bercakap kepada wartawan sebaik saja tiba di perkarangan balai polis itu, Timbalan Presiden PKR mencabar kerajaan Umno-BN agar berdepan dengan beliau dan tidak mengganggu anggota keluarganya.

"Saya minta Umno tidak mengganggu kelauarga saya dan anak saya sebaliknya mereka harus berdepan dengan saya dan bukannya dengan anak saya.

"Saya cabar Umno untuk berdepan dengan saya," katanya.

Menurutnya, tindakan polis memanggil anaknya hari ini adalah tindakan terdesak Umno-BN.

"Ada lebih 500 ribu berhimpun di Dataran Merdeka mengapa mereka hanya menyasarkan anak dan isteri saya. Ini satu petunjuk bahawa Umno terdesak.

"Kami akan teruskan usaha lawan kezaliman dan kemungkaran yang berlaku dalam Umno," katanya.

Polis sebelum ini meminta anak Azmin hadir di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 9 November lalu walaupun anaknya akan mula menghadapi peperiksaan akhir tahun pada hari yang sama.

Menurut Azmin, polis mengeluarkan Notis Seksyen 111 mengarahkan anaknya untuk dirakam keterangan kerana perhimpunan BERSIH.

Buang masa

Sementara itu, peguam Latheefa Koya yang ditemui pemberita berkata anak dan isteri menteri besar Selangor itu disiasat di bawah Seksyen 4 (2) (F) akta Perhimpunan Aman.

Menurut Latheefa, berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak membenarkan kanak-kanak berhimpun di Perhimpunan Aman.

Justeru, Latheefa berkata siasatan yang dijalankan ini membuang masa kerana banyak lagi kes jenayah berat yang perlu polis selesaikan.

"Siasatan ini satu perbuatan membuang masa, banyak lagi kes yang jauh lagi penting melibatkan menteri tetapi tidak dilakukan.

"Kita ada banyak lagi jenayah tetapi kita terpaksa luangkan masa untuk siasat budak yang tidak bersalah dan ibu bapanya hanya untuk dakwa pemimpin politik, aktivis yang menentang kerajaan," kata Latheefa kepada pemberita selepas lebih satu jam setengah polis mengambil keterangan anak guamnya.

Jelas Latheefa lagi, anak Azmin diajukan sebanyak lima soalan.

Antara soalan itu, menurut Latheefa ialah siapa yang membawanya ke perhimpunan dan kenapa beliau memakai baju T BERSIH.

Manakala Shamsidar pula diberikan enam soalan, namun isteri menteri besar Selangor itu mengambil pendirian untuk tidak menjawab.

Pelajar itu diwakili peguam Latheefa Koya sementara Shamsidar diwakili Mohd Radzlan Jalaludin.

Polis sebelum ini meminta anak Azmin hadir di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 9 November lalu walaupun anaknya akan mula menghadapi peperiksaan akhir tahun pada hari yang sama.

Menurut Azmin, polis mengeluarkan Notis Seksyen 111 mengarahkan anaknya untuk dirakam keterangan kerana perhimpunan BERSIH.

Bagaimanapun, tarikh itu ditangguhkan.

Lihat Komen